Rabu, 18 September 2013

Khairy gembira dicabar anak Sanusi Junid

OLEH DIYANA IBRAHIM























Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau gembira dengan cabaran yang bakal diterimanya dalam pemilihan parti itu pada Oktober.

"Saya gembira bila adanya cabaran itu. Ia adalah pertandingan terbuka, saya mengalukan-alukan," katanya kepada media selepas program Lawatan dan Sesi Dialog Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini.

Ini merupakan reaksi pertama beliau selepas pengumuman anak kepada bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Sanusi Junid, Akhramsyah Sanusi Akhramsyah Muammar Ubaidah yang menyatakan akan mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda Umno pada Oktober ini.

 Akhramsyah merupakan ahli Umno cawangan Bendang Baru di Langkawi, Kedah. Beliau merupakan graduan mekanikal berumur 39 tahun. Hasratnya mencabar Khairy ditulis dalam blog peribadinya 'thoughtsintangents.blogspot.com'.

Dalam blognya, Akhramsyah berkata beliau memutuskan untuk menawarkan diri untuk jawatan itu kerana  ingin mengembalikan kegemilangan Pergerakan Pemuda Umno, terutamanya dalam perjuangan melaksanakan agenda Melayu.

"Agenda Pemuda Umno pimpinan saya bukanlah agenda saya sendiri, tetapi membawa harapan seluruh masyarakat Melayu amnya dan warga muda Umno khususnya," katanya.

Khairy, menantu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga ahli Parlimen Rembau, mengumumkan akan mempertahankan jawatan itu.

Pada pemilihan parti 2009, Khairy menang selepas mendapat 304 undi dalam pertandingan tiga penjuru melawan Datuk Mukhriz Mahathir (254 undi) dan bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo (232 undi).

Tiada ulasan: