Ketua Pemuda Umno Gua Musang Datuk Bazlan Baharudin memutuskan untuk merebut jawatan ketua bahagian tersebut, yang kini disandang veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, beliau memutuskan demikian setelah mendapat pandangan pelbagai pihak untuk berdepan dengan putera raja Kelantan yang berpengaruh dan dihormati itu.

Bazlan yang dipetik dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini berkata, beliau percaya Tengku Razaleigh akan menyambut baik hasrat beliau merebut jawatan tersebut.

Ini memandangkan, MP Gua Musang itu memutuskan untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, katanya.

"Saya mendapat pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusn ini kerana ia bukanlah mudah memandangkan Tengku Razaleigh cukup berpengaruh dan dihormati"

Bazlan menyatakan beliau yakin akan mendapat sokongan kumpulan "majoriti senyap" dalam kalangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno untuk memenangi jawatan itu.

"Kita harus ingat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pengundi muda akan menjadi pengundi majoriti, oleh itu UMNO perlu memberi isyarat kepada mereka bahawa parti itu bukanlah sebuah parti yang membenarkan seseorang itu menjadi ketua bahagian dulu, kini dan selamanya tanpa dicabar"

Tengku Razaleigh mengetuai bahagian Umno Gua Musang sejak tahun 1962.

Dalam sidang media pada hujung bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata kini tiba masanya untuk beliau berundur dari jawatan tersebut bagi memberi ruang kepada pemimpin baru.