Jumaat, 6 September 2013

Kerajaan abaikan pelajar produk PTS?

Dr Nazrul Izzuan Mohamad Idris,


Dulu sekitar pertengahan dan penghujung tahun 90-an, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan  satu siri ujian yang dikenali sebagai  Penilaian Tahap Satu (PTS).

Siri ujian ini adalah siri ujian IQ bagi menilai kepintaran dan kemampuan pelajar Malaysia ketika itu. Ujian ini dijalankan kepada pelajar darjah 3 di sekolah kebangsaan. Bagi yang berjaya dan lulus ujian PTS ini, mereka diberikan kelebihan untuk masuk ke darjah 5 terus pada sesi akademik seterusnya tanpa perlu mengikuti pelajaran di darjah 4.

Mereka perlu belajar sendiri silibus darjah 4 dan mempunyai masa hanya 2 tahun sahaja untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pendek kata, mereka yang lulus ujian IQ ini boleh ‘lompat’ kelas dari darjah 3 ke darjah 5. Konsep soalan-soalan yang dikemukakan dalam PTS ini lebih kepada soalan menguji IQ, kepintaran pelajar menerusi soalan berkonsepkan ujian minda, kebolehan menilai dan membaca ‘pattern’ susunan nombor dan lain-lain.

Saya adalah salah seorang yang menduduki PTS tersebut pada tahun 1998. Alhamdulillah, hari ini tahun 2013 , 15 tahun telah berlalu dan saya akhirnya menjadi seorang doktor perubatan. Ada rakan seangkatan yang memilih untuk sama-sama menggapai peluang dengan memasuki terus darjah 5 masa itu berjaya di bidang masing-masing. Ada yang dalam proses untuk menjadi akauntan bertauliah, peguam dan juga saintis.

Ada juga yang memilih untuk bersama rakan-rakan lain di darjah 4, memilih untuk tidak ‘lompat’ kelas juga berjaya di bidang masing-masing.

Cuma yang menjadi persoalan saya dan juga rakan-rakan ketika kami berbual menceritakan kisah lama tatkala ketika bercuti musim semester, projek PTS ini seolah-olah projek tergendala di pertengahan jalan.

Apakah objektif kerajaan melalui Kementerian Pendidikan ketika itu menjalankan ujian saringan memilih pelajar tertentu untuk dijalankan penilaian / ujian  PTS ini? PTS ini berjalan selama beberapa generasi termasuk generasi adik saya (beliau juga lulus PTS dan sekarang melanjutkan pelajaran di Australia) dan kemudian dihentikan sebagaimana kerajaan juga mahu memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sepatutnya sebagai salah satu usaha untuk membangunkan negara dan mentransformasikan Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020, ‘review’ terhadap projek PTS ini perlu dijalankan dari masa ke semasa.

Seharusnya pelajar yang lulus dan berjaya ujian PTS ini diberikan keistimewaan dalam menyumbang kepada negara, diberikan kuota khas istimewa yang tertentu, diserapkan ke dalam ‘think tank’ agensi kerajaan, GLC, membantu membuat dasar dan polisi, penasihat kepada majlis dan badan-badan tertentu dalam negara malah tidak keterlaluan jika kami diberikan peruntukan / elaun khas dan diberikan keistimewaan dalam kenaikan pangkat, jawatan dan ‘horonary title’.

Saya percaya ramai pelajar yang dulunya lulus dan berjaya PTS kini menjadi insan yang berjaya dalam bidang profesional sepeti peguam, doktor, saintis, akauntan, jurutera, pakar ekonomi dan banyak lagi.

Salah satu usaha untuk mengekang ‘brain drain’ adalah dengan mengiktiraf dan menberikan peluang kepada kami, produk hasil projek PTS ini untuk menyumbang pada negara. Amat  rugi sekiranya kerajaan membiarkan golongan bijak pandai ini dibazirkan bakat dan kepintaran mereka begitu sahaja malah lebih teruk lagi mereka terus berkhidmat di luar negara yang lebih mengiktiraf dan menghargai potensi yang ada pada mereka.

Pelajar pintar dan genius ini patut diberikan lebih peranan dalam jawatan penting dan struktur tinggi hierarki negara. Negara yang maju adalah negara yang banyak membuat penyelidikan dan membangunkan harta intelek dan memperkembangkan produk sendiri. Salah satu cara untuk Malaysia ke arah ini boleh dicapai melalui penglibatan pelajar genius  produk PTS ini. Saya berharap kerajaan memberi perhatian terhadap hal ini.

Tiada ulasan: