Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mempersoalkan tindakan pemimpin veteran DAP Zulkifli Mohd Noor yang mendakwa kepempinan tertinggi parti itu melayan pemimpin Melayu dalam parti tersebut sebagai “kaum 50 sen”.
"Kenapa sekarang?," soal Loke yang juga MP Seremban dalam sidang media hari ini.
"Saya kecewa dengan pemimpin lama yang membuat komen seperti itu ketika ini," katanya lagi.
Zulkifli merupakan salah seorang daripada tujuh calon Melayu yang akan bertanding bagi merebut jawatan anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam pemilihan hujung bulan ini.
Loke mengulas kenyataan Zulkifli yang menggelarkan Lim Guan Eng sebagai diktator dan menuduh ketua menteri Pulau Pinang itu memasang hasrat untuk mengukuhkan kedudukan sendiri, dan juga bapanya Lim Kit Siang dalam parti.
Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP mendakwa demikian dalam satu sidang media seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini.
“Orang Melayu hanya 'kaum 50 sen' dalam DAP dan tanpa golongan ini, mereka tidak dapat mencapai (jumlah keanggotaan) satu juta,” kata Zulkifli seperti dipetik dalam laporan itu.
Beliau juga mendakwa Guan Eng semakin menunjukkan sikap sebagai pemimpin autokratik dan diktator sehingga menyebabkan ramai anggota Melayu dalam DAP susah hati.
Beliau juga menyalahkan setausaha agung DAP itu atas masalah yang timbul dalam pemilihan CEC pada Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan