MENTAKAB: PAS bukan semakin lemah malah akan terus kukuh dan kuat
kedudukannya serta mendapat sokongan lebih besar masyarakat hasil
kerjasama politik bersama parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR).
Malah, walaupun PAS, PKR dan DAP menghadapi saingan sengit
daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang membabitkan UMNO, MCA
dan MIC, kerjasama PR dilihat lebih mampu melangkaui batas ideologi
atau kaum seperti yang dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),
5 Mei lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku
Zulpuri Shah Raja Puji berkata demikian ketika mengulas cadangan
sesetengah pihak dalam PAS untuk mengkaji semula kerjasamanya bersama
PR.
“Kita juga dapat lihat bagaimana PAS berjaya merampas
Kelantan daripada terus diperintah BN pada PRU 1990 ketika bekerjasama
dengan parti Semangat 46 dan keadaan itu bertambah kukuh hasil kerjasama
dengan PKR dan DAP.
“Kita juga dapat melihat pada 1999 di mana kerjasama dalam
Barisan Alternatif itu menyebabkan kerajaan UMNO/BN Terengganu tewas,”
ujar Tengku Zulpuri.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri
(DUN) Pahang berkata, kerjasama baik parti dalam PR juga mencatat satu
sejarah baru apabila PR berjaya mencetuskan Tsunami Politik 2008 yang
menyaksikan kejatuhan apabila merampas Selangor, Perak, Kedah dan Pulau
Pinang serta mengekalkan Kelantan.
“Ini merupakan petanda yang sangat positif. Kalau dulu,
orang bukan Islam takut kepada PAS, kini mereka lebih memahami budaya
Melayu dan Islam.
“Begitu juga DAP yang sekarang persepsi negatif orang
Melayu terhadap parti ini semakin berjaya dipulihkan malah semakin ramai
orang Melayu menerima DAP sebagai parti berbilang kaum. Kerjasama dalam
PR ialah win-win situation,” katanya.
Tengku Zulpuri Shah juga berpendapat, perkara terpenting
yang perlu di teruskan PR ialah gerak kerja yang berterusan, cuma
memperkemaskan sedikit kelemahan yang ada.
“Kita perlu terus membuat pelbagai aktiviti, khidmat, program penerangan supaya PR bertambah dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Walaupun mengakui masih wujud di kalangan orang Melayu yang
masih takut atau was-was terhadap kerjasama PR, beliau berkata, itu
adalah hasil propaganda jahat UMNO/BN sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
“Mentaliti sebeginilah yang kita perlu ubah. Kita kena
bebaskan mereka daripada mentaliti takut kerana inilah senjata UMNO/BN
untuk terus menguasai Malaysia,” kata beliau.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan