Shahrizat Abdul Jalil
SELEPAS Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri daripada merebut kerusi Ketua Wanita Umno, laluan bagi penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ternyata cukup cerah untuk mengekalkan jawatan.
Pada awalnya, banyak pihak menjangka pertembungan sengit antara Azalina yang mencabar Shahrizat, namun dengan pengunduran itu, kedudukan Shahrizat kembali teguh dan sukar digugat.
Sebaliknya, Azalina dikatakan hanya akan mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi Umno yang disandangnya sejak 2000.
Bagaimanapun keputusan Azalina menarik diri, hanya akan diumumkan secara rasmi hari ini.
Realitinya masih ramai membayangkan terlalu jauh kedudukan Azalina untuk menandingi populariti Shahrizat. Namun keputusan Azalina untuk beralah itu disambut positif kalangan kepimpinan Wanita Umno dengan bayangan bahawa Shahrizat akan menang tanpa bertanding.
Bagaimanapun selepas pengunduran Azalina, muncul secara mengejut, Raihan yang mencabar Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno.
Mungkin kesediaan Raihan mencabar Shahrizat tidak mengejutkan banyak pihak kerana bekas Ketua Wirawati Perkasa itu yang juga anak kepada Sulaiman Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sulaiman Palestine bukanlah nama besar dalam Umno berbanding Azalina.
Harapan Raihan, mungkin mahu mengulangi sejarah arwah bapanya yang pernah mencabar Tun Hussein Onn bagi jawatan Presiden Umno pada Jun 1978.
Bagi Shahrizat, beliau mengalu-alukan jika ada yang mahu mencabarnya bagi jawatan yang disandang sejak 2009 selepas mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Shahrizat bukanlah calang-calang penyandang, yang mempunyai track record’ yang bagus sepanjang berkhidmat kepada parti.
Katanya, sejak menerajui kepimpinan Wanita pada 2009, banyak pencapaian yang berjaya dibawa Shahrizat terutama mendepani isu berkaitan wanita dan keluarga.
“Beliau menampakkan kesungguhan dengan program Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang yang kesemuanya membuahkan kejayaan.
“Ini yang dinilai oleh parti dan akar umbi. Bukan sedikit sumbangannya kepada Wanita dan itu tidak boleh diketepikan begitu saja.Umno lebih memerlukan beliau yang berjaya membuktikan dirinya pemimpin yang
bekerja untuk parti,” katanya.
Meskipun Shahrizat kalah kepada Nurul Izzah Anwar pada PRU12 lalu, isu itu perlu dipisahkan dengan pemilihan Umno. Kekalahan pilihan raya tidak boleh dijadikan penghalang untuk pemimpin seperti Shahrizat menawarkan diri sekiranya mereka mempunyai potensi memimpin Umno pada masa akan datang.
Jika menganggap kekalahan pilihan raya sebagai penamat karier politik, itu satu kerugian kepada Umno.
Namun persepsi segelintir bahawa Shahrizat adalah liabiliti, tidak mengugat kedudukan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempertahankan jawatannya.
Jelas Samsul lagi, dakwaan bahawa Shahrizat liabiliti hanyalah dakwaan parti lawan dengan mewujudkan persepsi, walhal parti lebih mengetahui sumbangan Shahrizat membawa hala tuju Wanita Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan