KELAB Johor Darul Takzim (JDT) terus menjadi penyumbang kantung kewangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  apabila dikenakan denda RM40,000 selepas didapati bersalah kerana gagal memastikan keselamatan penyokong ketika aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Larkin, 6 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak berkata, isu keselamatan penyokong dan pemain sememangnya dipandang serius persatuan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Dalam kes yang berlaku ketika aksi JDT menentang Selangor, terdapat tiga pertuduhan dibuat ke atas tuan rumah iaitu membuang resit, pembakaran flare dan faktor keselamatan.

“Mengambil kira pandangan dan pengakuan bersalah dari JDT, FAM memutuskan hukuman denda RM40,000 dikenakan kepada JDT kerana gagal mengawal keselamatan yang mendorong kepada kejadian pembakaran flare serta pembuangan resit.

“FAM memandang serius kejadian seumpama ini kerana ia melibatkan faktor keselamatan pemain serta penyokong dan mereka masih berpeluang membuat rayuan atas hukuman tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Taufek  menjelaskan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Hafizie Roslee dijatuhkan hukuman gantung enam bulan dan denda RM2,000 kerana tidak mempunyai semangat kesukanan ketika menentang Sime Darby FC.

Jelas Taufek, berdasarkan pertuduhan Perkara 35.1 Kod Tatatertib FAM Edisi 2012 iaitu gagal mempamerkan semangat kesukanan, pemain terbabit tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

“Mengambil kira keterangan dari pengurusan pasukan Kuala Lumpur  dan rakaman dari video perlawanan dengan Sime Darby, jawatankuasa memutuskan hukuman gantung enam bulan dan tidak boleh terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak serta denda RM2,000.

“Jika gagal menjelaskan denda tersebut pemain tersebut akan disenaraihitamkan dari menyertai sebarang aktiviti bola sepak tempatan.” katanya.