Ahad, 22 September 2013

Jangan sanjung penjenayah!




Oleh Subky Latif


Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah telah bertitah betul apabila baginda mengingat supaya masyarakat jangan menyanjung penjenayah sekalipun penjenayah menyumbang banyak jasa.

Masyarakat lazimnya tidak akan bersimpati dengan kongsi gelap kerana kongsi gelap, tiada lain kerjanya selain membunuh, menyamun, merompak dan lain-lain.

Tetapi masyarakat kadang-kadang keliru dengan penjenayah yang merompak bank dan orang kaya dan menggunakan sebahagian hasil rompakan itu untuk membantu orang miskin seperti yang dilakukan oleh Robin Hood misalnya.

Mungkin Robin Hood merompak dan membunuh orang-orang jahat seperti Ah Long, Ali Baba, Tokeh pelacur dan lain-lain yang sememangnya penjenayah juga yang semuanya tidak berperi kemanusiaan. Tetapi Robin Hood walau pun menyamun tetapi berperi kemanusiaan. Maka orang yang keliru memuji Robin Hood.

Pernah di Malayia ada penjenayah yang mengikut jejak Robin Hood satu masa dulu terkenal dengan panggilan Botak Chin. Dia pun merompak dan membagikan sebahagian hasil rompakan kepada orang susah. Ramailah yang memuji Botak Chin tetapi dia penjenayah nekad yang bermurah hati.

Penjenayah adalah satu nama lagi bagi ahli maksiat. Bagi orang awam, ahli maksiat ialah melanggar hukum agama sedang penjenayah melanggar undang-undang negeri. Padahal yang melanggar undang-undang penal kod itu ahli maksiat juga.

Orang yang membuat maksiat adalah orang berdosa dan orang ini tidak wajar dipuji kerana memujinya seolah-olah menggalakkan mereka terus maksiat. Mereka akan rasa diri mereka disukai orang.

Tiada masyarakat Islam memuliakan ahli maksiat dan tiada masyarakat toleren dengan perompak hatta yang dipanggil panjang tangan. Orang tak terima penyamun jadi menantu dan hendak berbesan dengan ahli maksiat pun tak mahu sekalipun anaknya baik.

Kecualilah masyarakat mengetahui taubatnya. Orang taubat kita kena muliakan. Kalau Tuhan memuliakan orang taubat, tidak bolehlah manusia tidak boleh memaafkannya. Walaupun dia dimaafkan tetapi jenayah dulunya tidak pula wajar kita banggakan. Cuma kita jangan sebut lagi tentang jahatnya dulu sesudah dia taubat.

Satu contoh yang kita kena menungkan ialah Ketua Polis Negara yang memukul bekas Timbalan Perdana Menteri hingga separuh mati. Ketua polis itu disabitkan jenayahnya dan dikenakan tindakan.

Tetapi sekarang media memberi tempat kepadanya. Dia seperti juru cakap masyarakat pula tentang berbagai isu. Dia bercakap banyak tentang jenayah kongsi gelap seolah-olah dia tidak pernah dikenakan tindakan memukul orang.

Adakah layanan baik yang media beri kepada orang yang pernah dihukum itu, boleh dikira menyanjung penjenayah seperti yang dititah baginda di Perak itu?

Atau adakah media yang memberi ruang kepada individu seperti itu antara pihak yang disindir oleh Raja Muda itu?

Apapun ramai penjenayah yang berkeliaran merompak harta negara dan melakukan kemungkaran besar tetapi tidak dihukum atau dikenakan tindakan, pertama tidak cukup bukti mensabitnya, atau tidak disiasat dan didakwa kerana kuasanya hebat atau kalau didakwa tidak dikemukakan saksi penting hingga payah menghukumnya.

Apakah tidak menghukum orang seperti itu termasuk dalam tindakan menyanjung penjenayah. Logiknya, polis enggan menyiasat dan jabatan peguam negara enggan mendakwa, mereka orang yang memuliakan jenayah dan maksiat.

Tiada ulasan: