Aurad Muhammadiah Ummu Jah (tengah) dan pengikutnya berjanji untuk meninggalkan Aurad Muhammadiah.

 
SHAH ALAM - Pengakuan Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam  atau dikenali  Ummu Jah yang dilaporkan akan kembali ke pangkal ajaran Islam tidak boleh hanya dimaklumkan depan media sahaja.

Demikian menurut bekas pembantu kanan Ummu Jah, Nizamuddin Mohamad yang menyifatkan tindakan itu tidak membuktikan beliau benar-benar insaf.

“Kalau benar, dia (Ummu Jah) mesti melakukan pengisytiharan itu depan mufti, majlis fatwa, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Tapi kalau dia sahaja yang bercakap, kita tidak tahu betul atau tidak beliau akan bertaubat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengumuman itu mesti dilakukan dengan pengisytiharan bersama dengan ahli-ahli mereka di 38 zon yang masih bergiat aktif di seluruh negara.

“Setiap wakil mesti hadir jika semua tidak boleh hadir, kena isytihar secara terbuka, kalau cakap sahaja tidak guna kerana kita sudah faham dengan taqiyyah (pura-pura) yang dia buat.

“Kalau mahu buat pengisytiharan itu, bermakna beliau kena juga panggil tokoh-tokoh lama pengikut Abuya supaya beliau akan mengaku semua kesalahan yang dilakukannya,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, apa yang dilakukan dan ikrar ahli serta Ummu Jah sendiri akan terbatal jika beliau mengumumkan untuk kembali bertaubat.

“Beliau perlu menarik balik pengakuan dan ajaran yang diajar kepada ahlinya serta duit tabung Taqwa yang melibatkan jutaan ringgit di luar negara.

“Begitu juga dengan hukuman yang dikenakan kepada ahli-ahlinya yang didakwa ingkar dan tidak mengikut arahannya. Ramai sebenarnya yang dikuarantin beliau atas pelbagai kesalahan,” katanya.