Jumaat, 13 September 2013

Ibu pejabat Umno telah kenal pasti bahagian bermasalah


MALAYSIA KINI


Ibu pejabat Umno telah mengenal pasti beberapa Umno bahagian yang bermasalah seperti di Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan beberapa negeri yang lain dan sedang meneliti dan memperhalusi kaedah terbaik agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, selain itu, ibupejabat Umno juga mendapat maklumat di peringkat Umno bahagian bahawa terdapat pihak yang bertindak negatif termasuklah melakukan politik wang.
  
"Sehubungan itu, saya ingatkan mana-mana anggota Umno yang secara jelas terlibat dalam anasir-anasir sedemikian dan melanggar tataetika anggota Umno maka mereka akan diambil tindakan keras termasuklah digantung keanggotaannya.
  
"Sebarang bantahan yang dibuat perlulah melalui ketua bahagian dan setiausaha bahagian Umno," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau mengingatkan ahli Umno supaya tidak mengambil kesempatan terhadap mana-mana persidangan sama ada untuk kepentingan peribadi atau atas agenda lain termasuk membatalkan persidangan.
  
Tengku Adnan berkata kuasa pemutus ditentukan oleh Majlis Tertinggi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan peraturan parti.
  
Beliau berkata ini kerana, menjelang pemilihan parti yang bakal berlangsung dan dikawal selia oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Umno 2013, pelbagai aduan diterima oleh jawatankuasa itu.
  
"Antara aduan yang diterima oleh jawatankuasa terbabit adalah bersifat dengan sengaja berniat untuk memburukkan anggota/cawangan/bahagian, dengan sengaja berniat untuk membatalkan mesyuarat yang dijalankan serta aduan yang tidak munasabah," katanya.
  
Tengku Adnan berkata jawatankuasa itu bersidang setiap hari di ibupejabat bagi membincang, menyelaras, menyelia dan memastikan setiap aduan berkaitan permasalahan yang timbul dapat ditangani dengan adil dan telus seterusnya memberi kaedah penyelesaian terbaik.

"Namun demikian, ianya hendaklah disahkan oleh ketua bahagian dan setiausaha bahagian Umno dan sebarang siasatan berkaitan aduan dibuat oleh badan perhubungan Umno negeri," katanya.
  
Mengenai pemutihan ahli Umno ekoran pindaan perlembagaan parti pada 15 Okt 2009, Tengku Adnan menyarankan mana-mana ahli, cawangan dan bahagian yang akan bermesyuarat agar membuat semakan keanggotaan bagi mengelakkan sebarang kerumitan dan permasalahan berlaku.
  
Beliau berkata menerusi persidangan cawangan yang berlangsung pada tahun 2010, 2011 dan 2012, ibu pejabat tidak menerima sebarang aduan berkaitan keahlian di mana-mana cawangan.
  
"Namun demikian, dalam persidangan cawangan 2013 terdapat pelbagai masalah yang timbul barangkali ekoran kelalaian atau kelekaan daripada membuat semakan keanggotaan masing-masing," katanya.
  
Beliau berkata pemutihan ahli Umno telah dibuat pada tahun 2010, 2011 dan 2012 agar senarai ahli yang ada di setiap bahagian adalah mengikut daftar yang terkini setelah penghapusan yuran tahunan keahlian.
  
"Selain itu, ia penting untuk memastikan kesahihan senarai ahli Umno antara bahagian dan ibu pejabat," katanya.
  
Beliau berkata sehingga hari ini, jumlah perwakilan yang telah selesai melaksanakan tanggungjawabnya melalui persidangan cawangan ialah sekitar 53 peratus.- Bernama

Tiada ulasan: