Selasa, 24 September 2013

Hentikan budaya samseng dalam Umno’

Ariff turut mengemukakan bukti bahawa kejadian serangan ke atas dirinya bukan lakonan.




KUALA LUMPUR: Calon Majlis Tertinggi Umno, Mohd Ariff Abdul Aziz, 57, hari ini mahu pimpinan Umno pusat menghentikan penularan budaya samseng di dalam Umno ekoran kejadian yang menimpa beliau.

“Umno tidak memerlukan pemimpin bersifat gangster. Sila singkirkan mereka,” kata beliau dalam satu sidang media di sini.

Beliau telah pun menghantar surat cadangannya kepada pengerusi jawatankuasa disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail dan pengerusi jawatankuasa pemilihan Umno, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Umno AGM 2011

Surat sama akan diberikan kepada Presiden Umno ,Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua hari lalu, Ariff bercadang menghantar borang pencalonan di PWTC untuk bertanding  kerusi Ketua Bahagian Umno Titiwangsa  telah dipukul oleh Setiausaha Kerja Umno Titiwangsa, Noryumisza Abu Nasir.

Beliau yang cedera terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Kuala Lumpur. Satu laporan polis telah pun dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Beberapa jam sebelum itu, beliau telahpun mendaftarkan diri sebagai calon untuk kerusi ahli majlis tertinggi Umno. Beliau merupakan salah seorang daripada 64 calon yang bertanding untuk 25 kerusi ahli majlis tertinggi.

Pemangku Ketua Bahagian Umno Titiwangsa sekarang ialah Datuk Johari Abdul Ghani (gambar) Beliau yang akan mempertahankan jawatan beliau telahpun menafikan dakwaan Ariff.

“Bila tiada orang nak lawan saya, jadi mereka reka cerita ada orang kena pukul. Saya rasa ini satu usaha untuk jatuhkan saya.

“Saya bukan orang seperti itu, siapa lakukan perkara seperti ini, kita akan pastikan mereka kena pecat daripada Umno,” kata Johari kepada akhbar Sinar Harian dua hari lalu.

Dalam akhbar sama hari ini, Johari mendakwa kejadian ini ialah satu drama lakonan semata – mata.

Mengulas kenyataan ini, Ariff berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Ariff turut memberitahu bahawa beliau telah menerima pesanan ringkas melalui telefon dari Noryumisza.

“Dia minta maaf kepada saya kerana menyangka saya akan menghantar pencalonan untuk kerusi ketua bahagian Umno Titiwangsa.  Saya tidak berbuat demikian.

“Dia juga redha untuk menghadapi apa saja hukuman sewajarnya,” kata Ariff.

Tiada ulasan: