Sabtu, 7 September 2013

Hasan Ali: Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM hancurkan Melayu

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK‎


















Cadangan Kementerian Pendidikan mewajibkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris pada 2016 mendapat tentangan dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Jalur Tiga (Jati).

Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula pelaksanaan itu berikutan tempohnya terlalu singkat bagi pihak yang terlibat untuk membuat persediaan.

“Saya melihat keputusan kerajaan ini belum muktamad dan boleh dikaji semula. Tahun 2016 sudah terlalu hampir. Pastinya ramai yang masih belum bersedia seperti anak nelayan dan petani, ibu bapa serta guru sekolah.

 “Akhirnya, pelajar Melayu sendiri yang terkorban dengan pelaksanaan dasar ini. Setiap perkara yang diputuskan perlu memberi kepentingan kepada semua kaum terutamanya anak-anak Melayu.

“Bayangkan jika Bahasa Melayu diwajibkan sebagai salah satu kriteria kemasukan dalam jawatan di peringkat kerajaan mahu pun swasta, pastinya mereka juga akan terkesan dengan pelaksanaan peraturan sedemikian," katanya semasa dihubungi The Malaysian Insider.

Hasan memberi contoh semasa negara suatu masa dahulu mahu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), pelajar Melayulah yang ketinggalan dalam keputusan peperiksaaan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula dasar tersebut kerana Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan majoriti kaum Melayu serta dasar tersebut, katanya, akan menghancurkan anak Melayu.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi sokongan penuh kepada cadangan Kementerian Pendidikan itu.

Setiausaha Agungnya, Syed Hasan Syed Ali berkata pelajar Melayu perlu menguasai subjek Bahasa Inggeris kerana pengabaian terhadap subjek itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tempat di universiti.

"Pelaksanaan ini penting kerana seseorang pelajar itu kelak akan sukar mendapat peluang pekerjaan yang baik sekiranya gagal menguasai bahasa Inggeris meskipun mereka memiliki ijazah.

"Maka Perkasa amat mengalu-alaukan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris dalam SPM.

Menteri Pendidikan,Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memaklumkan subjek Bahasa Inggeris akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang 2016.

Beliau menjelaskan bagi melaksanakan hasrat ini, Kementerian Pendidikan kini dalam usaha menambah masa pembelajaran di dalam kelas supaya murid menerima pendedahan yang lebih untuk subjek tersebut.

Katanya, PPPM menggariskan beberapa inisiatif seperti guru Bahasa Inggeris diuji kemahiran mereka melalui Ujian Penempatan Cambridge (CPT).

Beliau berkata, kohort pertama seramai 5,000 pelajar sudah mengikuti latihan lanjutan oleh British Council, manakala 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.

Muhyiddin menambah bagi menambah baik kualiti guru sedia ada, PPPM turut memperkukuh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+.

PPPM yang dilancarkan Muhyiddin semalam berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Pelan itu dilancarkan dalam tiga gelombang iaitu Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan semua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Tiada ulasan: