Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata saranan oleh ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib untuk mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP bertujuan untuk menguatkan lagi usaha berkenaan dalam Pakatan Rakyat.

NONEAbdul Hadi dalam laporan Sinar Harian menegaskan, PAS akan tetap bersama dengan dua parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

"Ini adat dalam politik, kita mestilah kaji setiap perjalanan. Kita hanya mahu kaji untuk kuatkan lagi muafakat.

"Kita akan terus bersama dala Pakatan Rakyat dan tiada kemungkinan untuk keluar dariapda Pakatan itu," katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Akhbar hari ini melaporkan Harun sebagai mencadangkan PAS Pusat supaya mengkaji semula kerjasama politik dalam Pakatan berdasarkan garis panduan syura susulan pengaruh parti itu dilihat semakin lemah.

Beliau berkata langkah itu wajar berikutan kebelakangan ini berlaku pelbagai perkara yang melemahkan PAS selain merosakkan hubungan dalam kerjasama politik sendiri.

NONESementara Naib presiden Datuk Mahfuz Omar (kanan) dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad turut menyokong kenyataan dengan Abdul Hadi itu.

Sekalipun menghormati pandangan Harun itu, Mahfuz tetap menegaskan parti itu sentiasa mengkaji setiap strategi bagi memperkukuhkan setiap kerjasama yang dilakukan.

"(Cadangan) itu biasa. PAS sentiasa mengkaji setiap strategi untuk memperlihatkan keberkesanan (fungsi PAS dalam Pakatan) di samping memperkukuh dan memantapkan sebarang bentuk kerjasama yang kita lakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahli parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun menasihatkan mana-mana pemimpin supaya berhati-hati mengulas isu yang dibangkitkan dan adalah lebih baik ia dibincangkan secara dalaman.

NONEManakala, Khalid pula menegaskan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat "tidak sekali-kali" merugikan parti itu, malah mendapat manfaat yang lebih banyak.

Beliau yang juga ahli parlimen Shah Alam turut bersetuju supaya PAS mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan semata-mata untuk "memperbaiki dan memperkukuhkan" kerjasama di kalangan parti pembangkang,

"Dari dulu (PAS) ditolak Melayu dan bukan Melayu, kecuali di Kelantan.
Sekarang penerimaan oleh Melayu semakin ditingkatkan dan penerimaan bukan Melayu, oleh kerana kebersamaan kita dengan Pakatan, amat membanggakan.

"PAS dilihat sebarang parti yang berjuang atas dasar Islam yang mengutamakan prinsip-prinsip keadilan dan menolak perkauman. Mesej dan imej Islam semakin diperjelaskan dengan adanya PAS bersama Pakatan," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini.