Esok genaplah 50 tahun Malaysia berdiri sebagai sebuah negara.Pada 16 September 1963, Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung menjadi satu negara. Dua tahun selepas ianya ditubuhkan, Singapura keluar.Tarikh keramat 16 September baru dua tiga tahun lalu dianggap sebagai hari penting dan diberikan cuti umum.
Apa yang berlaku selepas 50 tahun menjadi sebuah negara?
Kita masih lagi berbincang tentang masalah hubungan diantara kaum di Malaysia.
Sabah dan Sarawak yang pada satu ketika dahulu bersama-sama bersetuju menubuhkan negara ini, masih merasa dipinggirkan dan tidak dimajukan selari dengan Semenanjung Malaysia walaupun hasil kekayaan negeri mereka dikongsi bersama.
Rakyat Malaysia masih lagi diklasifikasikan mengikut kaum dan agama malahan ramai yang dianggap sebagai “lain-lain”.
Allah hanya untuk Melayu dan Islam, walaupun kita difahamkan Allah itu tuhan untuk sekalian alam.
Media arus perdana masih lagi dikawal ketat oleh parti yang memerintah.
Media milik negara seperti RTM masih belum memberikan laporan yang adil dan seimbang walaupun mereka didanai oleh wang pembayar cukai.
Anak-anak kita masih lagi tidak bersekolah di bawah satu bumbung.
Semuanya mahu ke sekolah eksklusif masing-masing dan sekolah kerajaan tidak menarik minat kaum selain Melayu kerana dasar ‘Islamisasi’ atau ‘Arabisasi’ yang agresif.
Selepas separuh abad masih belum jelas apakah Malaysia ini sebuah negara Islam atau sekular.
Kalau tanya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau akan kata Malaysia adalah negara Islam.
Tanya Pengerusi DAP Karpal Singh pula, mati-mati beliau akan kata mereka sekular.
Jadi apakah sebenarnya Malaysia?
Berikut adalah sebahagian daripada pelbagai persoalan yang timbul dan sering diperkatakan.
Awal minggu ini semasa menjadi moderator dalam satu forum anjuran The Malaysian Insider, penulis diberitahu oleh salah seorang ahli panel yang merupakan pengarang majalah, terdapat 40,000 rakyat Malaysia menetap di Melbourne, Australia.
Menurutnya, 40,000 ini merupakan rakyat Malaysia yang masih memegang passport negara dan belum dicampur dengan yang sudah melepaskan kewargenegaraan Malaysia.
Jumlah ini juga belum dicampur dengan rakyat Malaysia yang menetap di bandar-bandar lain di Australia.
Apabila memikirkan kembali apa yang dikatakan oleh pengarang majalah tersebut membuatkan penulis berfikir.
Pada ketika negara ini “dihuru-harakan” oleh orang yang memegang tampuk kekuasaan, sedikit demi sedikit rakyat meninggalkan negara ini.
Bukan sahaja kaum Cina dan India, ramai juga orang-orang Melayu turut bersama.
Kata pengarang itu lagi, di Melbourne, rakyat Malaysia yang menetap di sana tidak membezakan antara satu sama lain mengikut kaum dan agama.
Semuanya berbangga kerana datang dari negara yang sama.
Esok negara kita akan berusia separuh abad. Fikirkanlah kembali apa yang sudah dan akan kita lakukan untuk memperbaikinya.
Sekurang-kurangnya, mulakan dengan diri kita terlebih dahulu.
Kalau kita tidak mempunyai kawan dari kaum lain, mulakan mencari. Berkenal-kenalanlah antara satu sama lain.
Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta.
Lebih baik lagi jika kita bercinta dengan orang dari kaum berbeza. Banyak kebaikannya.
Sekurang-kurangnya kita mula merapatkan jurang antara kaum selepas terpisah sekian lama.
Selamat Hari Malaysia ke-50
Tiada ulasan:
Catat Ulasan