Oleh Izmil Amri
Saya tak ada anak. Mana lah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa. Sehinggalah Ahad sudah.
Tapi sebelum itu mari kita ambil masa beberapa minit untuk
merenung dompet masing-masing. Kira perlahan-lahan ada berapa ringgit
dalam dompet anda. Fikirkan berapa lama anda dapat bertahan dengan wang
yang anda ada itu.
Ambil kira perbelanjaan minyak kereta dan makan-minum serta
perbelanjaan ‘tak semena-mena’ yang sering terjadi. Pandang isi
kandungan dompet anda. Renung lama-lama. Sayunya rasa hati kan?
Berbalik kepada cerita saya.
Ada teman minta tolong saya belikan lampin pakai buang
untuk anaknya yang belum pun lagi satu tahun usia. Itu petang Ahad lalu,
waktu saya kebetulan pergi kenduri teman yang lagi satu. Saya pergi
kenduri sebab mahu makan ‘free’. Ya lah, waktu-waktu cemas hujung bulan
sebelum dapat gaji, tak berapa nak ada kemampuan. Harus jimat.
Elok suap makanan ke mulut, telefon berbunyi, minta tolong
beli lampin. Selesai makan saya pun ke pasaraya terdekat. Dalam dompet
cuma ada RM50.
Sekali lagi, manalah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa.
Saya pun ambil troli, dengan niat nak beli barang-barang
lain. Saya agak ‘sebungkus’ lampin begitu dalam dua puluh ringgit
begitu.
Nyata saya salah.
Menghampiri rak yang menyusun bungkusan lampin pakai buang.
Saya tenung harga satu-satu dan kemudian langsung mencari jenama yang
disuruh beli. Terpampang harga ‘RM40.90’. Ah sudah. Saya tinggal troli
di tepi, ambil bungkusan lampin dan terus berlalu pergi.
Ekonomi selimut singkat
Ini
realiti ekonomi masyarakat Malaysia hari ini; apa yang disebut orang
sebagai ekonomi selimut singkat. Bagi memahami istilah ekonomi selimut
singkat ini, mari kita belajar apa itu ‘kos peluang’.
Kos peluang mudah difahami sebagai ‘kesempatan yang
hilang’. Contohnya jika anda memiliki RM1,000, anda punya pilihan untuk
melancong atau membeli telefon pintar. Kalau wang yang anda ada itu
digunakan untuk melancong, maka hilanglah peluang untuk membeli telefon;
begitu juga sebaliknya.
Analogi teori ini sangat puitis kalau disebutkan sebagai ekonomi selimut singkat.
Kalau ditarik selimut melepasi dada, kaki terdedah
kesejukan. Kalau ditutup kaki pula, dada kesejukan. Begitulah. Akan ada
yang menjadi korban demi yang lain.
Dalam ekonomi dunia nyata, saya sarankan anda melihat
kembali situasi kenaikan harga minyak yang diumumkan beberapa hari
sejurus negara menyambut Hari Merdeka ke-56. Sebenarnya ya, harga minyak
tidak naik. Apa yang berlaku adalah subsidi minyak ditarik balik oleh
pihak pemerintah dalam keadaan ekonominya yang seperti selimut singkat
di atas tadi.
Subsidi petrol bukan sahaja dibayar kepada pengusaha
syarikat petrol demi mengurangkan beban rakyat, malah turut diberikan
kepada pengusaha tenaga elektrik swasta yang kemudian menjual elektrik
kepada syarikat pembekal elektrik yang menyambungkan bekalan elektrik ke
rumah dan pejabat anda. Syarikat ini tidak ditarik balik subsidi
mereka.
Subsidi yang memudahkan anda itu yang ditarik balik oleh kerajaan. Maka harga minyak naik 20 sen.
Soalnya sekarang bukan sahaja harga minyak jadi bertambah
mahal, tetapi subsidi yang ditarik balik itu disalurkan ke mana pula?
Dan kemudian bagaimana anda yang kini terpaksa menanggung kenaikan ini
akan terpaksa juga mengurus kewangan dengan kenaikan harga barang yang
diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ini?
Ya banyak persoalan yang akan buat kita sakit otak.
Sama keadaannya kalau anda diletakkan dalam bilik berhawa dingin dengan sehelai selimut singkat. Menggelabah.
Menguruskan sumber
Soal kos peluang ini timbul kerana dua perkara. Pertama,
manusia mempunyai keinginan dan kemahuan yang tidak terbatas. Kedua,
sumber yang ada sangat terhad.
Keadaan
sumber terhad ini amat dirasai sekarang apabila kerajaan United Malays
National Organisation kelihatan bertungkus lumus mengimbangkan
perbelanjaan demi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat yang terpaksa
berhadapan inflasi dan kos hidup tinggi. Pada masa yang sama ia masih
perlu menampung lompang belanjawan akibat kerakusannya berbelanja sakan
serta ketirisan yang berlaku lantaran korupsi.
Andaikan kos menurap jalan raya sepanjang 100 meter sekitar
RM10,000. Andaikan saja lah; ini contoh.
Saya mana tahu berapa kos menurap jalan. Disebabkan kewujudan korupsi, maka kos ini akan membelon barangkali dua kali ganda. Mahu dapat tender turap jalan sahaja sudah perlu rasuah pengeluar tender. Bila sudah dapat tender kerana guna pengaruh politik kawan-kawan, harus keluar duit lagi untuk jamu kawan-kawan politik.
Saya mana tahu berapa kos menurap jalan. Disebabkan kewujudan korupsi, maka kos ini akan membelon barangkali dua kali ganda. Mahu dapat tender turap jalan sahaja sudah perlu rasuah pengeluar tender. Bila sudah dapat tender kerana guna pengaruh politik kawan-kawan, harus keluar duit lagi untuk jamu kawan-kawan politik.
Ini penyakit yang melanda negara akibat urus tadbir
berasaskan untung tanpa sedikit pun sifat amanah dan integriti. Inilah
dia penyebab kenapa wujud keterhutangan dan kenapa selimut yang asal itu
kian bertambah singkat.
Tahun lalu Perdana Menteri Najib Razak telah membentangkan
Belanjawan 2013 bernilai hampir RM250 bilion. Belanjawan pilihan raya
yang begitu besar jumlahnya, dibentang dalam keadaan negara berhutang
lebih separuh daripada KDNK.
Semalam di Parlimen dibentangkan satu lagi rang
undang-undang perbekalan tambahan untuk memohon kelulusan Parlimen bagi
perbelanjaan tambahan yang tidak masuk dalam Belanjawan 2013 yang
dibentang hujung tahun lalu. Perbelanjaan berjumlah RM14 bilion ini
barangkali sudah pun dibelanjakan.
Dalam sessi Parlimen sebelum ini, satu lagi rang
undang-undang perbekalan tambahan dibentangkan, bagi tujuan sama:
belanja dulu, baru minta izin. Cumanya yang itu dibuat berdasarkan
belanjawan tahun fiskal sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan