Rabu, 18 September 2013

Dyana Sofya pengkhianat?

Kolar Putih,


Usaha untuk memecahkan tembok perkauman tidak pernah menjadi satu usaha mudah. Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepatutnya berbangga dengan pencapaian Dyana Sofya Mohd Daud yang menjadi Setiausaha Politik kepada penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang. Umum mengetahui, DAP bukan parti yang berasaskan kaum walaupun parti itu didominasi oleh ahli berbangsa Cina (setakat ini).

Apabila ada seorang graduan UiTM yang beragama Islam dan berbangsa Melayu berjaya dipilih untuk menjawat jawatan itu, UiTM sepatutnya gembira dan bukan bertindak defensif mengenai perkara ini. Saya sendiri sebagai bekas graduan UiTM (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) amat mengenali dan faham mengenai UiTM. Semasa saya masih bergelar mahasiswa UiTM pengurusan dan pensyarah tidak pernah putus menyatakan impian UiTM adalah untuk melahirkan graduan yang berjaya saing dan boleh dipasarkan dalam kalangan kaum lain terutama berbangsa Cina. Nah!

Dengan ini, Dyana Sofya Mohd Daud adalah salah satu contoh terbaik graduan UiTM yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam kalangan organisasi yang majoritinya bukan Melayu. Jadi, persoalannya di sini, apa lagi UiTM mahu?

Dalam isu ini, yang rasis bukanlah DAP apatah lagi Dyana Sofya Mohd Daud, tetapi yang rasis adalah beberapa pemimpin Umno yang cuba memalitkan isu perkauman dalam perkara ini. Perkauman bukan sahaja menjadi senjata ampuh, bahkan darah daging kepada Umno. Semua isu akan dilihat melalui perspektif kaum.

Ya, survival orang Melayu amat penting, tetapi bukan melalui cara adu-domba dan taktik menakutkan orang Melayu seolah-olah bangsa Melayu hanya lahir selepas lahirnya Umno. Realitinya, Umno akan mati tanpa orang Melayu, tetapi orang Melayu tidak akan mati tanpa Umno. Malangnya masih ramai lagi orang Melayu tidak menyedari perkara ini dan terus untuk memilih mempercayai teori karut Umno.

Apabila UiTM sendiri memalitkan warna perkauman di dalam isu ini, pastinya mahasiswa-mahasiswi dan graduan UiTM tertanya-tanya apakah justifikasi kepada slogan 'Mengubah Destini Anak Bangsa' yang diilhamkan oleh Naib Canselor sendiri? Sekiranya pendirian UiTM adalah menganggap Dyana Sofea Mohd Daud sebagai pengkhianat, maka wajarlah slogan tersebut ditukarkan kepada 'Mengekalkan Destini Anak Bangsa', iaitu supaya orang Melayu kekal berjaya di kalangan orang Melayu sendiri sahaja.

Bagi memastikan kualiti graduan UiTM terus meningkat, UiTM seharusnya keluar dari kepompong politik yang menjumudkan visi, misi dan gerak kerja UiTM. Selagi UiTM taat kepada tuan politiknya, selagi itu mahasiswa dan mahasiswinya tidak bebas daripada proses doktrinisasi.

Pendidikan sepatutnya bebas daripada sebarang unsur politik kepartian dan wajar bersifat sebagai apolitikal, non-partisan. Semangat inilah yang harus disemai dan dijiwai oleh semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia termasuk UiTM sendiri.

Akhir sekali, syabas dan tahniah kepada Dyana Sofya Mohd Daud. Ucapan penghargaan ini bukan sahaja kerana berjaya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, malah kerana sebagai graduan UiTM anda berjaya memecahkan dogma jumud dan klise UiTM.

Kepada UiTM, tahniah jua diucapkan kerana berjaya melahirkan graduan seperti Dyana Sofya Mohd Daud. Semoga lebih ramai lagi 'Dyana Sofya Mohd Daud' dapat dilahirkan. Apa lagi UiTM mahu?

Tiada ulasan: