ACP Zainuddin Ahmad ACP Zainuddin Ahmad
 
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merobohkan kuil di Jalan P. Ramlee di sini sebaliknya mereka cuba mengalihkan beberapa patung di dalam kuil itu ke kawasan sementara bagi membolehkan kerja membaik pulih jalan di kawasan kuil itu dilakukan.

Justeru, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad menafikan laporan sebuah portal yang melaporkan DBKL cuba merobohkan kuil berusia 101 tahun itu.

"DBKL cuma nak alihkan patung di kuil itu, bukan nak robohkan. Kalau dah siap (kerja membaik pulih), patung itu akan diletak semula di tempatnya," katanya dalam satu kenyataan.

Zainuddin mengulas penahanan lapan lelaki termasuk Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan T.Mohan kira-kira 11 pagi tadi kerana dipercayai cuba menghalang kerja-kerja DBKL itu.

Kesemua mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan petang tadi.

"Kita percaya ini adalah salah faham antara kumpulan lelaki itu dan DBKL. Mereka mungkin menyangka DBKL hendak merobohkan kuil tersebut," jelasnya. - Bernama