Isnin, 23 September 2013

Dasar Umno BN hanya kayakan anak, kroni – Anwar

Oleh Nazar Hashim

KUALA LUMPUR: Dasar Umno Barisan Nasional hanya mementingkan anak dan kroni dan bukan membantu bumiputera yang miskin, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Pakatan Rakyat termasuk DAP sebelum ini menyokong hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

SONY DSC

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Najib turut mengumumkan pakej bernilai RM30 bilion, serta penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera.

“Kita tidak pernah menyangkal hak dan kedudukan tersebut. Namun begitu apa yang kita tentang ialah keistimewaan yang diberikan kepada kumpulan Melayu yang kaya menjadi semakin kaya serta berbilion dianugerahkan kepada anak Menteri,” kata Anwar.

“Sokongan kita berikan sekiranya kekayaan ini diberikan kepada orang Melayu yang miskin untuk menaikkan taraf hidup dan menseimbangkan kedudukan ekonomi masyarakat yang ketara jurang perbezaannya. Bukannya untuk mengkayakan anak sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Himpunan Kepedulian Kemanusiaan Global yang diadakan di Yayasan An-Nadhoh, Penanti, Pulau Pinang 16 September lalu.

Anwar berkata, kerajaan harus mengubah dasar yang hanya memberi bantuan kepada kroni dan kenalan yang menyebabkan jurang kekayaan semakin melebar.

Tiada ulasan: