Selasa, 10 September 2013

Antara Robin Hood dengan Robin Najib




Oleh SHIRZAD LIFEBOAT 

ADALAH satu fakta tak-dapat-disangkal betapa hampir setiap golongan dewasa terutama mereka bertaraf ketua keluarga terjebak, malah tersumpah untuk berhutang lebih separuh hayat. Semuanya akibat struktur pelbagai cukai dan kadar faedah yang menokok kepada kos-akhir hampir semua barangan di peringkat pengguna.

Tidak sukar melihat betapa harga kereta dan rumah terkeluar daripada senarai barangan yang mampu dimiliki secara pinjaman jangka pendek atau apatalah lagi secara tunai.

Justeru setiap rakyat Malaysia yang berhutang bimbang sama ada mereka masih mampu hidup secara sempurna tanpa berhutang dengan bank menerusi kad kredit memandangkan kadar kenaikan gaji (dibaca pendapatan) hanyalah merupakan pecahan kecil kepada hutang kereta, hutang rumah, hutang pinjaman peribadi untuk tujuan menghantar anak ke universiti dan lain-lain hutang yang terpaksa diambil kerana sesuatu keperluan mendesak.

Pada garisan terakhirnya, hampir setiap rakyat Malaysia dalam golongan dewasa bimbang dan resah tentang kedudukan hutang mereka. Namun, yang langsung tidak menunjukkan sebarang kebimbangan, malah menganggapnya sebagai “biasa” adalah pemimpin Umno-BN.

“Pemimpin datang dan pergi. Pemimpin yang pergi boleh lupa sahaja tentang hutang. Pemimpin yang datang kenalah fikir tentang hutang pemimpin yang telah pergi,” komen seorang penjual cendol dan rojak di tepi jalan di sebuah kawasan perumahan di pinggir Kuala Lumpur. Dulu dia ada sebuah kedai menjual akhbar, alat tulis dan pelbagai barangan runcit termasuk kad prayabar untuk pelbagai pembekal khidmat telefon mudah alih. Tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar kerana tak mampu lagi untuk membayar ansuran bulanan rumah kedai yang dibelinya lapan tahun terdahulu ketika mana harga minyak dan barangan keperluan lain masih di peringkat munasabah dan masih boleh toleransikan.

Kami minum di warung tidak berlesen yang terletak di sebuah tanah lapang. “Masa aku masih dalam 'army' dulu, harga teh tarik ini baru seringgit.” rungut seorang askar pangkat rendah yang telah pencen perkhidmatan beberapa tahun terdahulu tetapi sedang mencari pekerjaan. “Tiga orang lagi anak aku masih sekolah. Kalau nak harapkan pencen aje, tak boleh hidup,” katanya lagi.

“Hmm. Betul tu,” kata penjual cendol India Muslim yang baru menghantar pesanan whatsapps kepada isterinya yang sedang menjaga warung cendol motosikal roda tiga di persimpangan sebuah pasar raya. “Kita semua ni dah lah susah, kerajaan naikkan pulak lagi harga minyak.”

“Itu dan memang cara kerajaanlah. Kalau nak pakai duit atau nak 'settle' hutang, terpaksa ambik duit rakyat. Naik cukai itu, naik cukai ini. Potong subsidi itu potong subsidi ini,” sungut si askar pencen.

‘Tau takpe’, saya bersetuju dalam hati sambil mengingatkan peristiwa yang berlaku pada malam Najib Razak mengumumkan kenaikan harga minyak.

Pada malam itu saya lepak sambil minum kopi di sebuah kedai mamak berhampiran dengan sebuah stesen minyak Petronas. Ketika saya tiba kira-kira jam 11 malam, kereta yang berbaris untuk mengisi penuh tangki minyak masing-masing sudah ibarat kesesakan trafik di pusat bandar Kuala Lumpur tatkala waktu puncak. Banyak juga kenderaan yang terpakir di bahu jalan sisir dan tepi jalan utama kerana kawasan stesen minyak sudah penuh.

Seorang wanita, barangkali dalam usia pertengahan 30-an berjalan dengan muka masam ke arah meja sebelah saya. “Sudahlah satu jam tunggu, tak dapat masuk. ATM (mesin ATM) pulak beratur panjang,” katanya kepada seorang lelaki yang agak lebih tua dan duduk di meja sebelah.”

Rupa-rupanya wanita yang kemudiannya beredar dengan sebuah kereta Proton Waja itu hanya mahu mengeluarkan wang tunai RM50 untuk kegunaan suaminya yang telah pokai giler untuk ke tempat kerja keesokan hari.

‘Itulah rentak dan nadi hidup di Malaysia bagi golongan berpendapatan sederhana,’ kata hati saya lagi.
Sementara pemimpin Umno, termasuk yang buta ekonomi mengatakan kenaikan harga minyak akan membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia (ikut mana kukuh pun ramai yang tak tahu), kerajaan juga akan menggunakan wang pengurangan subsidi minyak itu untuk memberikan nilai BR1M yang lebih tinggi.

Bagi yang layak menerima BR1M, mereka hanya mengambilnya kerana apa pun jumlahnya, ia berguna untuk meringankan sedikit beban tetapi dalam waktu yang sama akur betapa sesaknya keadaan ekonomi negara dan betapa tujuan BR1M hanyalah umpan politik Umno semata-mata dan bukan pada dasarnya untuk membantu kerajaan. Maknanya, rakyat yang lapar diberikan ikan walhal sepatutnya diberikan pancing.

Dengan alasan menggunakan wang pengurangan subsidi minyak untuk memberikan BR1M, Najib Razak nampaknya meniru gaya Robin Hood. Bezanya watak cerita rakyat Inggeris purba itu mencuri daripada golongan kaya untuk diberikan kepada golongan miskin tetapi Najib menafikan wang golongan miskin untuk diberikan semula kepada golongan miskin untuk tujuan mendapat nama (walaupun pada hakikatnya jumlah BR1M itu jauh lebih kecil daripada jumlah perbezaan jangka panjang dalam kos kehidupan akibat kenaikan harga minyak yang bersifat reaksi-berantai terhadap semua kos komoditi keperluan hidup).

Dalam pada itu, bercakap sebagai pakar terulung ekonomi seantero dunia, kenaikan minyak itu menurut penjelasan Najib adalah bagi tujuan pengukuhan semula ekonomi negara. Namun demikian, mereka yang dianggap kurang pakar oleh sesetengah pihak di Malaysia, dan bertugas sebagai penganalisis ekonomi di firma pengkadaran Fitch (di mana laporan dan analisisnya digunakan oleh hampir semua pembuat dasar fiskal di seluruh dunia) pula menawarkan pendapat berbeza.

Fitch memerhatikan betapa penabungan fiskal dari kenaikan minyak 20 sen itu hanyalah RM1 bilion bagi 2013 atau bersamaan 0.1 peratus daripada KDNK dan hanya RM3 bilion untuk tahun 2014 atau bersamaan 0.3 peratus dari KDNK.

Firma tersebut yang telah pun turut memfaktorkan pengurangan bersih satu peratus KDNK dari perbelanjaan menerusi ramalan fiskal kerajaan bagi tahun 2015 merasakan perubahan angka tersebut tidak akan menjejaskan pengkadaran mereka terhadap Malaysia (sebagaimana ia tidak akan mengurangkan hutang luar Malaysia atau memperbaiki indeks ekonomi yang lainnnya).

Barangkali Fitch terlepas pandang betapa dalam sebutan pengurusan dan urustadbir ekonomi Malaysia, terutamanya setelah diletakkan batu asasnya oleh Abdullah Ahmad Badawi ketika mengetuai Kementerian Kewangan (atas nama sahaja), kenaikan harga minyak dan komoditi keperluan lain jarang mengambil kira prestasi ekonomi itu sendiri. Sebaliknya ia lebih merupakan pertimbangan survival politik parti pemerintah.

Tiada ulasan: