Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Hasrat Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mahu
mendapatkan tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk
membenarkan maklumat akaun bank Ketua Umum KEADILAN itu didedahkan
kepada umum dikecam parti tersebut.
Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan itu sebagai
‘desperado’ kerana cuba mengganggu privasi Anwar sekaligus bagi
mempromosikan diri menjelang pemilihan Umno, Oktober ini.
Desperado bermaksud penyangak yang sangat terdesak untuk mendapatkan
kuasa, manakala JMM ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro Umno.
“Tindakan ‘desperado’ Pengerusi JMM ini bersifat kacau ganggu dan
tidak produktif. Tatkala negara hangat membincangkan ekonomi meruncing,
harga minyak dan barangan yang meningkat, dan rasuah yang kronik,
pihak-pihak sebegini sibuk dengan sandiwara,” katanya pada kenyataan.
Fahmi mengulas tindakan Azwanddin Hamzah semalam yang mengancam mahu
ke kediaman Anwar untuk mendesak agar beliau membenarkan Bank Negara
mendedahkan maklumat akaun banknya.
Isu maklumat bank tersebut dibangkitkan Azwanddin berhubung dakwaan
oleh bekas calon BN kawasan Parlimen Permatang Pauh, Mazlan Ismail
melalui surat fitnah kononnya Anwar membayar RM50 juta kepada Pengerusi
DAP, Karpal Singh untuk merasuah hakim.
Kedua-dua pimpinan Pakatan Rakyat itu sudah membuat laporan polis 4
Ogos lalu dan mencabar Mazlan menunjukkan bukti, namun hingga kini
pemimpin Umno itu membisu.
Anwar dan Karpal juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap
dakwaan berkenaan yang disiar TV3 pada 2 Ogos serta Utusan Malaysia dan
New Straits Times keesokannya.
Azwanddin yang juga Ketua Umno Cawangan Bukit Antarabangsa dilaporkan
sebuah akhbar tempatan semalam berkata, usaha tersebut akan terus
dilakukan dengan apa cara sekalipun termasuk di setiap lokasi dihadiri
Anwar jika gagal mendapatkan tandatangan Ahli Parlimen Permatang Pauh
itu.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Rozan Azen Mat Rasip di Balai Polis
Jinjang sekitar 12.30 tengahari tadi, menggesa siasatan segera ke atas
Azwanddin kerana cuba menimbulkan kekacauan terhadap Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan