Sabtu, 21 September 2013

Ali Rustam sah bertanding, VP saksi perebutan 6 penjuru

 


 
 
Bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding naib presiden Umno, sekaligus mematikan spekulasi yang mengatakan beliau mungkin menarik diri.

Beliau mengumumkan perkara itu pada jam 4 petang tadi selepas menyerahkan borang pencalonannya di ibupejabat Umno di PWTC.

Sebelum itu timbul spekulasi yang beliau akan dilantik sebagai seorang senator sebagai usaha memujuknya supaya tidak meneruskan hasratnya bertanding.

Bagaimanapun, mereka yang rapat dengannya berkata, pelantikan tersebut tiada kaitan dengan pertandingan naib presiden.

Sebaliknya, kata mereka, pelantikan itu adalah sebagai menghargai jasanya selama mentadbir negeri Melaka.

Ali Rustam ketika ditanya mengenai spekulasi tersebut berkata, semua calon ada 72 jam untuk memikir pencalonan mereka.

"Apa-apa pun boleh berlaku dalam masa 72 jam itu," katanya.

Ini bermakna perebutan jawatan tersebut bakal menyaksikan perebutan enam penjuru antara tiga penyandangnya - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan tiga lagi calon.

Dua orang lagi yang mengemukakan borang pencalonan untuk jawatan tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Mukhriz menyerahkan borang pencalonannya petang ini manakala Isa berbuat demikian pagi tadi.

Tiada ulasan: