KUALA LUMPUR - Menjelang Aidilfitri yang dijangka diraikan Khamis ini, warga kota mula beransur meninggalkan ibu negara hari ini untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Ramai warga kota turut mengambil kesempatan untuk bercuti panjang memandangkan Aidilfitri tahun ini serentak dengan cuti persekolahan.

Tinjauan Bernama mendapati ramai warga kota memilih pengangkutan awam termasuk kereta api dan bas untuk ke destinasi mereka.

Pengurus Kanan Pemasaran Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antarabandar Mohd Noordin Kimi berkata tiket bagi KTM Ekspres sudah banyak dijual manakala tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) masih lagi dijual.

"Tiket bagi ETS sentiasa ada berbanding tiket KTM Ekspres yang terhad.

Setakat ini, hanya 3,000 tiket daripada 33,000 yang ditawarkan KTM Ekspres yang belum dijual," katanya kepada Bernama.

Beliau yakin semua tiket akan habis dijual seperti tahun sebelum ini kerana ramai yang memilih pulang pada saat-saat akhir.

KTM juga menambah daripada 18 tren kepada 22 tren untuk ETS bagi memudahkan perjalanan dari Kuala lumpur ke Ipoh dan Ipoh ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang pelajar Institut Perguruan Kota Baharu, Syuhaida Sulaiman, 22, berkata beliau menggunakan perkhidmatan ETS untuk pulang ke Ipoh kerana ia cepat dan selesa.

"Saya telah beberapa kali menggunakan ETS kerana ia mempunyai banyak kemudahan termasuk kafeteria dan televisyen," katanya.

Di Hentian Putra, penjawat awam Nurul Husna Mohd Hamdan, 26, berkata beliau dan keluarganya akan pulang ke Dungun, Terengganu.

"Ini adalah kali pertama kami sekeluarga menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Kami membeli tiket pergi-balik kerana ia lebih senang, jimat kos dan tidak perlu memikirkan kesesakan jalan raya," katanya.

Pelajar Univerisiti Malaya Zaidatul Akma, 23, yang ditemui di Pudu Sentral di sini berkata beliau membeli tiket ke Taiping, Perak sebulan lebih awal sebelum Aidilfitri pada setiap tahun untuk mengelak kehabisan tiket. - Bernama