HARAKAH DAILY |
Pelatih anjing Maznah "Chetz" Yusof perlu dididik bukannya dihukum. Islam tidak terhina kerana video Chetz, kerana ia tidak bertujuan begitu.
Chetz mungkin seorang yang tidak tinggi ilmu agamanya. Video memuatkan video tersebut juga bukan untuk menghina sesiapa, tapi kerana ketaksuban beliau dalam menyayangi anjing sehingga seolah-olah beliau inginkan anjingnya dimuliakan sama dengan kita memuliakan manusia.
Ini cuma satu kelakuan yang jahil, yang boleh diperbetulkan tanpa mengenakan sebarang hukuman.
Wajarkah Chetz dicemuh sebegitu rupa di media sehingga menimbulkan kemarahan melampau pada beliau seolah-olah beliau sebagai seorang manusia yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan?
Sebagai pelatih anjing, diyakini sekurang-kurangnya Chetz pernah menyelamatkan sebilangan anjing-anjing yang sedang kebuluran dan pernah berkata-kata baik dan melakukan benda baik dalam hidupnya, dan ada orang yang pernah mendapat kebaikan daripada sifat baiknya itu. Atas nilai ini sahaja wajar dipuji kerana majoriti manusia di dunia ini tidak lagi boleh bersifat sedemikian.
Jika binatang yang dipilih Chetz ialah kucing, dan bukannya anjing, sudah tentu Chetz tidak dicemuh sebegitu rupa. Salahkah Chetz lebih menyayangi anjing?
Tak salah orang Islam memiliki anjing, tapi mesti kena pada caranya dan mengenali cara untuk menghindari diri daripada perkara yang haram dan belajar membersihkannya menurut kaedah syarak. Harus diingat memegang anjing bukan suatu dosa walaupun ia adalah najis mughalazah. Perkara ini boleh dididik apabila mendapati ada umat yang jahil mengenainya, tapi jangan sesekali disamakan kelakuan jahil itu dengan niat menghina Islam.
Tidak dinafikan ada umat Islam yang tersinggung dengan perbuatan Chetz, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Sempena Hari Raya yang bakal menjelang, saya mengesyorkan agar umat Islam di Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan Chetz untuk memaafkan beliau.
Mungkin ada pihak yang baik hati boleh memuatkan pula satu video untuk mengajar umat Islam mengenai anjing, dan cara membersihkan najisnya untuk tujuan mendidik daripada terus mencemuh Chetz.
Barangkali juga kalau ada yang sanggup mengambil risiko untuk memuatkan video seseorang Muslim menerima duit rasuah lalu diambilnya duit itu untuk memberikan sedekah kepada mereka yang susah dan alim, dan melihat apakah ia akan menimbulkan reaksi yang sama seperti video Chetz?
Jika ya, bagus, kerana ini menunjukkan perubahan pada umat Islam untuk melihat perkara yang haram pada nada yang sama. Jika tidak, tepuk dada tanya iman, apakah sikap dwi-standard umat Islam pada perkara yang haram ini telah menghina Islam itu sendiri kerana melanggar syariat Islam yang utama ialah berlaku adil dalam semua perkara?
Sudah tentu rakyat masih ingat bagaimana tiada reaksi pelbagai institusi agama yang kini mengecam Chetz terhadap segelintir pemimpin BN, seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang pernah menghina Islam.
Apakah bilamana pemimpin negara yang melakukannya maka ianya dibolehkan tetapi apabila rakyat marhaen yang melakukannya seluruh media dan institusi agama mengecamnya? Mari kita didik rakyat agar lebih memahami tuntutan agama dari kita mencemuh mereka.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan