Selasa, 6 Ogos 2013

Dakwat kekal juga boleh diguna pada Hari Raya

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya dakwat kekal bukannya berguna pada pilihanraya sahaja, tetapi ia berguna pada Hari Raya Puasa juga, tulis Aspan Alias.

Menurutnya, kalau semasa pilihanraya dakwat kekal digunakan untuk mengelak sesiapa dari mengundi dua kali, semasa hari raya pula ia digunakan untuk mengelak kanak-kanak datang menuntut duit raya berulang kali.

“Jadi kepada pemimpin PKR, ingat dakwat kekal ini sangat penting, ia boleh digunakan oleh semua orang baik semasa pilihanraya tetapi juga semasa pilihanraya,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com sebagaimana di bawah.

Posting kali ini adalah posting yang relaks dan tidak tertumpu kpada isu serius seperti politik dan keselamatan negara yang terancam dengan siri pembunuhan bersenjata yang berlaku 9 hari berturut-turut itu. Kita sedang berada di ambang Hari Raya Aidulfitri yang sangat ditunggu-tunggu setelah sebulan beribadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun hijrah 1434 ini.

Saya terjumpa seorang yang baru keluar dari bank untuk mengeluarkan wang kertas satu ringgit (RM1) yang agak banyak juga. Wang kertas seringgit itu tentulah untuk dijadikan sebagai wang untuk diberikan kepada kanak-kanak yang sangat bergembira di hari raya ini. Dia berkata yang dia ramai anak-anak saudara dan kanak-kanak kampungnya selalu akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan duit raya semata-mata.

Seperti juga kita semua, ramai yang berkemampuan untuk menghulurkan wang raya ini tentulah berasa gembira melihat anak-anak kecil bersukaria apabia mendapat duit raya seringgit dua dari kita. Saya bertanya kepadanya bagaimana kalau yang ramai-ramai itu datang berulang kali kerana tentu dia tidak akan dapat tahu siapa yang sudah menerima dan belum menerima duit raya dia itu?

Kawan saya itu berjenaka, “Itulah, saya ingat saya hendak pergi ke SPR sahaja untuk mendapatkan dakwat kekal dari Suruhanjaya itu.” Bila saya tanya apa kena mengena dengan dakwat kekal dengan duit raya itu dia menjawab, “Ialah…apabila anak-anak saudara atau kanak-kanak kampung datang menerima duit raya, kita suruh dia celup jari telunjuk mereka ke dalam dakwat kekal tu supaya kita dapat mengenali siapa yang sudah menerima duit raya dan siapa yang belum menerimanya!” Jawapannya ini amat menggelikan hati saya mendengarnya.

Rupa-rupanya dakwat kekal ini bukannya berguna pada pilihanraya sahaja, tetapi ia berguna pada Hari Raya Puasa juga. Kalau semasa pilihanraya dakwat kekal digunakan untuk mengelak sesiapa dari mengundi dua kali, semasa hari raya pula ia digunakan untuk mengelak kanak-kanak datang menuntut duit raya berulang kali.

Jadi kepada pemimpin PKR, ingat dakwat kekal ini sangat penting, ia boleh digunakan oleh semua orang baik semasa pilihanraya tetapi juga semasa pilihanraya. Kalau tidak berpuas hati penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya gunakanlah semasa Hari Raya. Kepada pemimpin UMNO pula dakwat ini boleh digunakan untuk mempastikan penyokong yang ramai-ramai itu tidak meminta duit raya berulang kali.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin, dan pada sesiapa yang ramai anak-anak saudara dan cucu saudara itu jangan lupa untuk membawa balik kampung bersama dengan dakwat kekal.

Tiada ulasan: