Khamis, 15 Ogos 2013

Dakwa enggan amal nepotisme, Mukhriz patut nasihati bapanya dulu


nepotisme

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir patut menasihati bapanya terlebih dulu sebelum membuat kenyataan untuk tidak memberi projek kepada ahli keluarga.

Seumpama ‘cakap tidak serupa bikin’, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata kenyataan Mukhriz itu meragukan kerana bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pengamal nepotisme yang ekstrem.

“Sebaik-baiknya Mukhriz menasihati dahulu bapanya yang sebelum ini pernah mengatakan dirinya bersih dan amanah tetapi ‘kotor’ dan kronisme,” katanya kepada TV Selangor.

Semalam, Mukhriz membuat kenyataan kononnya tidak mahu memberi sebarang projek kepada ahli keluarga bagi mengelakkan konflik kepentingan tetapi mahu meminta ‘nasihat’ mereka.

Pada 1997, Mahathir cuba menyelamatkan syarikat anak-anaknya melalui ‘bail-out’ menggunakan dana Petronas ketika negara berdepan dengan kegawatan ekonomi hingga membawa kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Johari bagaimanapun, menyambut baik kenyataan itu yang disifatkan sebagai petanda baik jika dilaksanakan kerana bapa Mukhriz gagal melakukan perkara sama.

“Lihat saja bapanya, cakap mengenai ketuanan Melayu, bersih dan amanah tetapi hakikatnya beliau mengamalkan nepotisme yang ekstrem.

“Bukan sahaja mengaut keuntungan harta kekayaan rakyat untuk diberi kepada kroni tetapi juga memberi projek besar kepada anak-anaknya dan syarikat milik keluarga,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Beliau berkata, Mukhriz harus terlebih dahulu mengamal tender terbuka dengan mendahulukan anak-anak Kedah, sebelum sebelum membuat kenyataan ‘tidak memberi projek kepada keluarga’.-FZL

Tiada ulasan: