Khamis, 15 Ogos 2013

Cadangan ganti EO untuk tutup kelemahan polis, Najib

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Tindakan polis memperkenal undang-undang baru bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) hanya taktik pasukan itu menutup kelemahan mereka menangani jenayah melibatkan kes tembakan kebelakangan ini, kata Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

sivarasa_rasiah

Katanya, selepas EO dimansuh pada 2011, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan statistik jenayah di Malaysia menurun dan ia dipertahan bersungguh-sungguh oleh pimpinan Umno.

“Sekarang kenyataan itu bercanggah apabila Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mendakwa konon jenayah meningkat kerana EO sudah mansuh.

“Mengapa semasa EO dimansuh tidak bantah. Bagi saya, isu pokok bukan memperkenal undang-undang baru untuk ganti EO, sebaliknya kegagalan polis dan pentadbiran Najib menangani jenayah,” katanya kepada Suara Keadilan.

Tanpa EO katanya, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk membanteras jenayah, namun gagal kerana polis masih bertindak demi kepentingan politik Umno BN berbanding menjaga keselamatan rakyat.

“Kita bantah EO kerana undang-undang itu menahan Orang Kena Tuduh (OKT) tanpa bicara dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia. Saya yakin undang-undang sedia mampu tangani jenayah.

Contohnya, bagi kes jenayah biasa, polis berkuasa menahan seseorang itu sehingga 15 hari dan ia antara tempoh paling lama di dunia.

“Di negara lain terutama di Eropah misalnya, polis hanya boleh menahan dan membawa OKT dalam tempoh 24 jam sahaja dan jika gagal, OKT itu mesti dilepaskan,” katanya menegaskan penyelesaian terbaik masalah polis adalah menubuh IPCMC.

Mengenai undang-undang baru bagi mengganti EO sebagaimana dipersetujui Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 Julai lalu, Sivarasa tidak menolak peraturan baru itu pasti lebih kejam dari EO.

Tiada ulasan: