Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan usul di Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam untuk melucutkan kelayakan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.
  
Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, Ram Karpal Singh, semasa dihubungi semalam mengesahkan perkara itu dengan menyatakan usul itu difailkan pada 4 petang di Mahkamah Rayuan.
  
Beliau berkata permohonan itu akan didengar pada hari pertama pendengaran rayuan itu pada 17 September.
  
Muhammad Shafee diberikan kuasa oleh Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
  
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan itu pada 9 Januari tahun lepas.- Bernama