Rabu, 3 Julai 2013

UPNM: Kenapa panglima tidak lagi jadi panglima?

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan perhatian serius terhadap jawatan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baru yang dikatakan diberi kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Bercakap kepada media di parlimen, Mahfuz berkata persoalan berkaitan pelantikan itu perlu dijelaskan memandangkan beberapa persoalan perlu dijawab berhubung Zulkifli itu sendiri.

"Selain berasakan tidak wajar bagi Naib Canselor sedia ada dikeluarkan, persoalan berkaitan mengapa Zulkifli yang mempunyai rekod tidak cemerlang ketika menjadi naib canselor sebelum ini perlu dimaklumkan kepada rakyat," tegas beliau di lobi parlimen, semalam.

Tambah beliau, sebelum ini pihaknya difahamkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menandatangani satu surat untuk mengekalkan naib canselor yang ada sekarang, malah perkara sama dikatakan turut dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau turut memaklumkan sehingga hari ini belum ada satu kenyataan rasmi tentang kedudukan Zulkifli, sedangkan jawatan panglima yang dikosongkan telah diisikan oleh orang lain.

Selain Muhyiddin, Mahfuz turut meminta Kementerian Pertahanan untuk menjelaskan kepada awam kenapa panglima itu tidak lagi menjadi panglima dan dikatakan akan menjadi naib canselor, lebih-lebih lagi dengan rekod beliau yang gagal dalam usaha menaikkan ranking UPNM.

"Saya ingin penjelasan kementerian pertahanan, apakah beliau ini mempunyai masalah yang besar sehingga tidak lagi menjadi panglima, atau mempunyai kaitan dengan teguran Sultan Johor sebelum ini berkaitan pembelian pesawat tentera yang dipertikaikan," kata Mahfuz lagi.

Tiada ulasan: