Isnin, 22 Julai 2013

TPPA: Kedaulatan negara tergugat kerana kecuaian rundingan kerajaan?

HARAKAH DAILY


1. Keengganan kerajaan untuk memperincikan kandungan perundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) tajaan Amerika Syarikat amat dicurigai di kala rakyat menuntut suatu ketelusan.

2. Bagi sebuah kerajaan yang gah mengumumkan ketibaan era pentadbiran inklusif dan berakhirnya zaman “government knows best”, rundingan TPPA ini adalah manifestasi sikap gopoh dan tidak cermat kerajaan yang terus menerus membelakangkan penyertaan rakyat di dalam amalan pentadbiran.

3. Kegopohan kerajaan bersandarkan kepada alasan bahawa TPPA boleh melonjakkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Berpandukan kepada kajian dari sebuah think tank ekonomi berpangkalan di Washington, Malaysia diunjur untuk mencatatkan penambahan tahunan sebanyak USD 40 billion dalam hasil eksport, USD 25 billion penambahan tahunan dalam pendapatan kasar, akses kepada ekonomi AS yang bernilai USD 15 trillion serta pasaran perolehan kerajaan yang bernilai USD 500 billion setahun.

4. Namun demikian, mengambilkira falsafah yang digunapakai kerajaan di dalam perlaksanaan ETP, kami percaya faedah pendapatan tinggi ini hanya akan dirasai oleh kumpulan pemodal dan elit-borjois manakala golongan marhaen terbanyak akan terus terpinggir sepertimana yang
berlaku sekarang.

5. Selagi mana faktor-faktor keadilan ekonomi tidak mendapat keutamaan, TPPA akan terus menjarakkan pendapatan sebenar dikalangan kelompok ekonomi masyarakat. Kajian awal beberapa NGO profesional turut mendedahkan perlaksanaan TPPA kelak akan memberi impak secara langsung terhadap kenaikan mendadak kos yang mesti ditanggung oleh pengguna di dalam sektor kesihatan, ICT dan perkhidmatan.

6. Sekiranya butiran TPPA didedahkan, kami percaya lebih banyak impak negatif terhadap isu-isu kepenggunaan diluar dari dua sektor ini akan dapat dikesan. Situasi inilah yang ingin dielakkan oleh kerajaan yang mahu rakyat hanya menurut tanpa bantahan bagi membolehkan kerajaan menyegerakan pemuktamadan rundingan. Keadaan ini akan mengizinkan segelintir kumpulan pelobi mengejar keuntungan segera di samping membolehkan pemerintah mengukuhkan imej dan legitimasinya pada kaca mata Washington pasca PRU ke-13.

7. TPPA adalah adalah agenda yang boleh mengancam kedaulatan Negara secara “by design”. Pihak konglomerat Multinational Corporations (MNC) bebas melabur dan berniaga di pasaran tempatan dan pihak kerajaan tidak dibenarkan melindungi perusahaan tempatan kerana ini dilihat sebagai ‘kezaliman’ kepada MNC. Bahkan pihak MNC boleh menyaman pihak kerajaan sekiranya tindakan kerajaan dilihat ‘mengancam’ pelaburan yang dibuat oleh syarikat-syarikat mega tersebut.

8. Nah, apa yang akan berlaku kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan? Apakah selepas ini kerajaan perlu menjadi pak turut MNC kerana bimbang disaman dan sekiranya disaman berapa juta atau bilionkah yang terpaksa dibayar kepada pihak MNC tersebut? Inilah agenda halus yang diungkapkan oleh sesetengah pemikir sebagai agenda mewujudkan
America’s Pacific!

9. Sepatutnya kerajaan mempelbagaikan penyertaan meliputi pakar-pakar segenap bidang dengan perwakilan dari anggota-anggota parlimen dan kumpulan-kumpulan berkepentingan. Malah kepelbagaian ini sepatutnya diterapkan sehingga kepada jawatankuasa perunding antarabangsa dan bukannya dimonopoli oleh birokrat MITI dan kerajaan semata-mata.

10. Sekiranya kerajaan boleh menganjurkan perundingan nasional dengan menjemput kumpulan-kumpulan masyarakat madani untuk turut serta merangka bajet tahunan, kenapakah tiada pendekatan yang sama digunakan untuk TPPA?

11. Apakah yang begitu ingin dirahsiakan kerajaan? Berdasarkan kepada perkembangan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian rundingan mestilah ditangguhkan sehinggalah kerajaan memperincikan butiran TPPA ini untuk penilaian awam dan membuka penyertaan di dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengemudi rundingan.

12. Draf akhir TPPA ini pula mesti dibahaskan secara terbuka dengan muktamad akhir penerimaan atau penolakannya dihakimkan oleh rakyat sendiri menerusi satu referendum bebas.

13. Bagi pihak DPPM insyaallah, melalui INFO [Institut Pemikiran Fadhil Noor] yang ditubuh bawah Lajnah Penerangan DPPM akan menganjurkan wacana bersiri mengenai TPPA : Kesan dan Ancaman kepada ekonomi negara dan ummah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Tiada ulasan: