Rabu, 3 Julai 2013

TG Nik Aziz wajar diberi penghargaan - Mujahid

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mencadangkan kepada kerajaan agar memberi penghargaan kepada bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dr Mujahid sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agung di Dewan Rakyat semalam berkata, Tuan Guru Nik Aziz wajar menerima penghargaan tersebut atas kejayaan beliau mentadbir negeri lebih 20 tahun tanpa rasuah.

"Beliau telah menyumbang kepada satu pengertian kepimpinan yang bermoral tinggi, yang merendah diri dalam kehidupan seharian dan kepentingan yang menunjukkan 'good governance'.

"Apalah good governance itu tanpa seorang pemimpin bebas rasuah dan dalam saat kita membicarakan tentang negara dan pemimpin yang rasuah tiba-tiba di celah-celah itu muncul seorang pemimpin yang memimpin negeri Kelantan mempunyai intergriti dan tidak ada rasuah," katanya ketika ditemui Harakahdaly semalam.

Dr Mujahid juga berkata, penghargaan tersebut boleh dirakamkan dala pelbagai bentuk contohnya mewujudkan Institut Pemikiran Nik Aziz dan sebagainya.

"Bagi saya ini satu rakaman sejarah, dalam pada kita menuntut good governance dan di hadapan kita ada contoh yang hidup yang menjadi kerajaan dan mendapat sokongan yang padu rakyat.

"Saya telah lontarkan di dewan sebagai satu hasrat untuk menjadikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai ikon tidak kiralah sebuah institut pemikiran atau apa sahaja yang merakam jasa Menteri Besar Kelantan ini," katanya.

Tiada ulasan: