Ahad, 14 Julai 2013

Terima hakikat polis lemah, NGO kecam KDN guna EO sebagai alasan

Oleh Md Izwan dan Mohd Farhan Darwis

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam sikap Putrajaya yang masih menyembunyikan hakikat sebenar kadar jenayah yang semakin meningkat serta menggunakan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai alasan, kata NGO pemantau jenayah, MyWatch dan hak asasi manusia, Suaram serta menggesa pasukan polis menerima hakikat kelemahan mereka sendiri.

Pertikaian itu kembali diperkatakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan penjenayah yang ditangkap kerana melakukan kesalahan di negara ini adalah bekas tahanan di bawah EO.

"Kerajaan hendak menubuhkan semula akta seperti EO bagi membolehkan mereka melakukan tindakan tahanan tanpa bicara, dan sesuka hati boleh tahan orang yang mereka anggap sebagai ancaman," kata pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan kepada The Malaysian Insider bagi membidas rancangan Ahmad Zahid yang mahu memperkenalkan akta sama seperti EO bagi membanteras jenayah.

Pengerusi MyWatch itu berkata kenyataan Ahmad Zahid membuktikan polis mengakui kelemahan mereka sendiri kerana polis tidak dapat menjalankan siasatan dan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat Malaysia.

"Tindakan ini sama seperti polis tidak percayakan anggota mereka.

"Ini umpama polis tidak percaya daya saing anggota mereka, dan tahap penyiasatan mereka masih lemah," katanya.

Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.

EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berkata indeks jenayah yang dikeluarkan polis pada 2012 menyaksikan penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus berbanding 2011.

Malahan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam membabitkan isu kadar jenayah apabila Ahmad Zahid menyatakan jenayah meningkat tetapi kerajaan sebaliknya pula mengeluarkan statistik menunjukkan jenayah menurun.

"Di mana statistik jenayah yang baru? Saya beri soalan ini kepada Ahmad Zahid semasa penggulungan titah Diraja di Parlimen semalam, tetapi dia tidak beri jawapan yang memuaskan," kata Lim, baru-baru ini.

Suaram turut menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis tidak menyembunyikan perkara sebenar kerana kepentingan dan keselamatan rakyat lebih mustahak.

"Polis dan KDN harus telus dalam isu kenaikan kadar jenayah di Malaysia. Jika kadar jenayah meningkat kerana kegagalan polis untuk menyelesaikannya maka perkara itu harus diakui dan polis harus memperbaikinya.

"Tiada gunanya kadar jenayah yang sebenar disorok hanya kerana mahu jaga imej PDRM dan KDN. Ini membabitkan keselamatan rakyat," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.

Bagaimanapun, Nalini menegaskan pendirian Suaram bahawa tidak wajar menggunakan EO sebagai alasan dan menyifatkan rancangan untuk mewujudkan undang-undang yang sama melanggar hak asasi manusia.

"Kenaikan kadar jenayah tidak boleh diperbaiki dengan mengembalikan undang-undang darurat seperti EO yang mencabul hak asasi manusia dengan membenarkan penahanan tanpa bicara," kata Nalini.

Suaram berkata, undang-undang itu hanya akan menyebabkan polis lebih malas daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

"Undang-undang ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan boleh mewujudkan 'kemalasan' di kalangan polis untuk menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka kembali melakukan jenayah.

Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008

Tiada ulasan: