PRK Dun Kuala Besut

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 5 Julai ini untuk membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, mesyuarat itu akan berlangsung di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya.

“Selepas itu, satu sidang media oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, akan diadakan bagi mengumumkan hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian,” katanya, semalam.

Katanya, SPR menerima makluman rasmi dari Yang Dipertua Dun Terengganu pada 27 Jun berhubung kekosongan kawasan Dun Kuala Besut berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun.

A Rahman, 55, meninggal dunia jam 10.18 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat kegagalan pernafasan selepas seminggu menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital itu.

Beliau meninggalkan isteri, Azizah N  Omar dan empat anak, iaitu Mohd Zaihan, Mohd Razhan, Mohd Zaffuan dan Nurul Najihah.

Pada PRU13 lalu, beliau mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon Pas, Napisah Ismail.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam barisan Exco kerajaan negeri BN.