SPRM
SPRM
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membidas dakwaan PKR yang mengatakan pihaknya tidak bertindak ke atas maklumat atau aduan yang dibuat.

Dalam laporan Sinar Harian Online semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa dua aduan yang dibuat kepada SPRM sebelum ini tidak mendapat sebarang jawapan.

Dua laporan tersebut berkaitan dengan isu NFC dan mengenai ahli perniagaan balak, Michael Chia.

Menurut SPRM, dalam satu kenyataannya, dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali.

"SPRM ingin menegaskan, kedua-dua kes yang dimaksudkan oleh beliau (Rafizi) telah pun diambil tindakan yang sewajarnya.

"Sehubungan itu, kenyataan yang mengatakan SPRM tidak bertindak ke atas maklumat atau aduan yang dibuat kepada SPRM adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali," kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyentuh dakwaan itu, SPRM menjelaskan serba sedikit tentang kedua-dua kes yang disentuh Rafizi.

"Dalam isu-isu NFC ini, aduan yang diterima oleh SPRM adalah menjurus kepada kesalahan pecah amanah (CBT) iaitu kesalahan di bawah Kanun Kesiksaan.

"Oleh itu, aduan ini telah pun dirujuk kepada pihak polis. Pengadu telah dimaklumkan akan tindakan SPRM ini dan bersetuju dengan tindakan yang telah diambil," katanya.

Tambahnya, "SPRM turut menerima aduan daripada pihak lain dan menyiasat individu terlibat dengan perbuatan rasuah yang berkaitan dengan NFC dan  individu terbabit telah pun dituduh di mahkamah."

Dalam kenyataan sama, SPRM turut menjelaskan dakwaan terhadap kes Michael Chia.

"Berkenaan dengan aduan melibatkan seorang ahli perniagaan balak, Michael Chia pula, SPRM telah bekerja keras menjalankan siasatan dengan terperinci.

"Siasatan telah selesai dijalankan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan keputusan mereka," katanya.

Sehubungan itu, SPRM meminta agar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati membabitkan suruhanjaya itu boleh membuat aduan.

"SPRM ingin menekankan bahawa semua maklumat yang mempunyai asas berlakunya perbuatan rasuah akan diambil tindakan sewajarnya oleh SPRM mengikut peruntukkan undang undang Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan SPRM,  mereka  boleh membuat aduan kepada Jawatankuasa Aduan iaitu salah satu daripada lima badan bebas yang memantau tugas-tugas SPRM," katanya.