Selasa, 23 Julai 2013

Seorang Lagi Terkandas 65 Hari Di KLIA, Imigresen Bantu Urusan Hantar Pulang

Warga Asing Terkandas - Kerana Disenaraihitam Di Malaysia Dan Ditolak Kemasukan Di Negara Ketiga Tanggungjawab Kedutaan



Alias Ahmad. 

PUTRAJAYA: Seorang lagi warga asing - kali ini rakyat Sudan - Osama Salim Juma Al-Baraa, 24, ditemui terkandas selama lebih 65 hari di ruang transit di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa KualaLumpur (KLIA) pada Selasa lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad.

Alias berkata, beliau menerima laporan itu daripada pasukan petugas mengenai Osama yang merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat yang terkandas di KLIA sejak16 Mei lalu selepas dihantar pulang ke Malaysia kerana ditolak kemasukan di Bangkok, Thailand.

“Mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO), seseorang yangditolak kemasukan di sesebuah negara, akan dihantar pulang ke tempat pelepasan terakhirnya. Dalam kes warga Sudanini, tempat terakhirnya adalah Malaysia.

"Bagaimanapun, Osama dilarang masuk ke Malaysia kerana telah disenaraihitamkan atas sebab menyalahgunakan pas pengajian kerana menetap lebih masa di negara ini,” katanya kepada mStar Online.

Warga Sudan yang terkandas di KLIA, Osama Salim Juma Al-Baraa.

Menurut Alias, ruang transit KLIA sebenarnya merupakan kawasan di luar bidang kuasa Jabatan Imigresen kerana bahagian itu belum melepasi pemeriksaan Imigresen.

"Dalam struktur KLIA, kawasan Bangunan Satelit (ruang transit) bukan kawasan pintu masuk negara yang digazetkan di bawah Akta Imigresen maka mereka yang terkandas itu adalah di luar kawalan kita," katanya.

Bagaimanapun, Alias menegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan sesekali berkompromi dalam isu keselamatan dan keamanan negara.

Jelasnya, mana-mana kes warga asing yang terkandas - kerana disenaraihitam di Malaysia dan ditolak kemasukan di negara ketiga - adalah di bawah tanggungjawab kedutaan negara mereka di sini.

"Namun begitu atas dasar kemanusiaan, kami mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan kes Osama dengan menghubungi Kedutaan Sudan di Malaysia bagi urusan penghantaran pulang.

"Wakil kedutaan sudah pun berjumpa dengan Osama pada Khamis lalu dan akan bertanggungjawab untuk menghantar balik Osama termasuk kos penerbangan selewat-lewatnya minggu depan," katanya lagi.

Ketua Unit Operasi Imigresen KLIA (Main Terminal Building), Mohamed Lamsah Othman (kiri) sedang memberi penerangan kepada Osama (kanan) mengenai maklumat berkaitan urusan penghantaran pulang. 

Beliau menambah, sementara menunggu untuk penghantaran pulang, Osama ditempatkan di 'bilik menunggu' di bawah pengawasan Imigresen di Bangunan Terminal KLIA.

Akhbar The Star sebelum ini melaporkan seorang warga Palestin, Ahmed Kanan, 22, terkandas di KLIA selama lebih 50 hari dan kemudiannya diberikan pas khas selama 30 hari sementara kesnya dikaji olehImigresen.

Alias menambah, bukan amalan bagi Imigresen untuk membenarkan warga asing yang melakukan kesalahan di negara ini memasuki negara begitu mudah kerana perlu menghormati kedaulatan negara dan integriti undang-undang.

"Hanya 'case by case basis' yang dikaji berasaskan kepada kekuatan justifikasi dalam menentukan keputusan untuk memberikan pengecualian itu.

"Pemberian pas khas kepada warga Palestin itu adalah kes pertama seumpamanya dengan mempertimbangkan atas dasar kemanusiaan disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di negaranya," kata Alias.

Tiada ulasan: