Pendatang dari Filipina hari ini membuat pengakuan kepada
Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perkahwinannya dengan wanita
Sabah bertujuan mengukuhkan 'kedudukan' kewarganegaraannya.
Pada sesi soal siasat inkuiri itu, Abdul Latif Jumani selaku saksi
ke-161 berkta demikian di depan panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota
Kinabalu, malah menceraikan isterinya sebelum ini, bagi mengahwini
rakyat tempatan.
"Kamu cerai isteri Filipina kamu cuma satu helah untuk kahwin orang
Sabah supaya kedudukan kamu sebagai orang Sabah lebih kuat?" soal
pegawai penyiasat, Jamil Aripin sebelum Abdul Latif dijawab: "Ya."
Abdul Latif berasal dari Pulau Ubian Filipina sebelum memasuki Sabah
melalui jalan laut pada 1972 ketika berusia 14 tahun bersama ibu dan dua
adiknya.
Beliau menceraikan isterinya dari etnik Bajau Filipina walaupun sudah
10 tahun berkahwin atas alasan tidak mampu memberikannya zuriat,
sebelum mengahwini wanita tempatan berketurunan Brunei pada 2004.
Mereka kemudian dikurniakan dua anak, masing-masing berusia lapan dan enam tahun.
Ditanya proses beliau mendapatkan kad pengenalan, Abdul Latif berkata
beliau pergi ke sebuah rumah di Sembulan, dan bertemu dengan seorang
lelaki dari etnik Bajau bagi mendapatkan dokumen warganegara tersebut.
Di sana, beliau kemudiannya diarahkan membawa empat keping gambar, mengisi borang dan cap jarinya diambil.
"Saya bayar RM5 ... selepas lima bulan dapat IC biru," katanya kepada panel RCI.
Beliau turut mendedahkan kad pengenalannya turut mempunyai maklumat
sama seperti milik seorang warga Pakistan ketika ingin mendaftar
kelahiran anak sulungnya.
"Bila mahu daftar anak JPN kata IC itu (warga) Pakistan punya ..."
Ditanya beliau ada merujuk kepada JPN bagi perkara itu, Abdul Latif
berkata beliau telah menghadiri temuduga bagi memastikan pemilik sebenar
kad pengenalan berkenaan dan JPN mengesahkan beliau merupakan pemilik
asalnya.
"Ada temuduga pastikan siapa pemilik?" soal pegawai penyiasat, dan
Abdul Latif kemudian menjawab,"Ya, dan saya disahkan pemilik sebenar,"
katanya, dan menambah daripada proses itu beliau hanya menggunakan resit
sementara memandangkan kad pengenalannya hanya siap selepas lapan
tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan