Khamis, 18 Julai 2013

Rafizi ulang kenyataan di luar Dewan


KL TODAY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (gambar) hari ini bertindak mengulang kenyataan beliau di luar dewan tentang syarikat  pembekal dakwat kekal yang didedahkannya di Dewan Rakyat semalam.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini, Rafizi menyambut baik cadangan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Pandikar Aman Mulia untuk beliau mengulangi pendedahan beliau di luar dewan jika yakin dengan maklumat tersebut.


“Saya katakan bahawa tiga syarikat yang dikawal Mohamad Salleh ini telah mendapat kontrak perbekalan secara runding terus dari SPR, termasuklah syarikat utamanya, Integrated Challenger (M) Sdn. Bhd,” kata beliau kepada media.

Rafizi turut menyatakan kenyataan menteri pada sesi penggulungan semalam juga mengesahkan pendedahan beliau itu tepat apabila menteri tidak menafikan atau mengesahkannya.

“Kenyataan menteri yang mengatakan sebuah syarikat bernama Nash Ventures Sdn Bhd turut mendapat kontrak perbekalan topi dari SPR juga mempunyai pertalian dengan Mohamad Salleh Mohamad Ali.

Menurut Rafizi, Nash Ventures yang mendapat kontrak perbekalan topi dari SPR itu mempunyai pertalian dengan Mohamad Salleh, di mana salah seorang pengarah syarikat iaitu Shamsia Mansoor juga adalah pengarah syarikat dan pemegang saham Allisons Corp Sdn Bhd yang mendapat kontrak perbekalan dari Kementerian Pertahanan.

“Selain itu, Shamsia yang memegang kad pengenalan bernombor 671219-66-5048 itu juga turut lahir di Singapura dan lahir pada tahun yang sama dengan Mohamad Salleh yang memungkinkan mereka adalah kenalan yang lama,” kata beliau.

Malah, tambah Rafizi alamat rumah kediaman untuk Shamsia dan Mohamad Salleh adalah sama, yang memungkinkan mereka mempunyai pertalian keluarga.

Sementara itu, kata Rafizi alamat perniagaan yang didaftarkan untuk ketiga-tiga syarikat tersebut iaitu Integrated Chellenger (M) Sdn. Bhd, Allisons Corp Sdn Bhd dan Nash Ventures Sdn. Bhd adalah di alamat yang sama, iaitu 44A &44B, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100, Shah Alam, Selangor.

“Ini mengesahkan maklumat yang saya dedahkan sebelum ini bahawa syarikat-syarikat yang dikawal oleh individu bernama Mohamad Salleh telah berjaya mendapat kontrak perbekalan dakwat, kemeja dan topi secara rundingan terus,” kata beliau.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengemukakan usul bagi merujuk Rafizi ke Jawatankuasa Keistimewaan dan Hak kerana dikatakan membuat kenyataan yang menyeleweng dewan apabila mengaitkan Mohamad Salleh dengan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR sebagai ‘rakan rapat’.

Bagaimanapun usul tersebut ditolak oleh Pandikar dan mencadangkan Rafizi untuk mengulangi kenyataannya di luar dewan.

Tindakan Rafizi itu juga menangkis kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan Pengarah Strategik PKR itu hanya membuat fitnah kerana hanya berani bercakap di dalam dewan.

“Saya yakin dengan maklumat yang kita ada dan kalau untuk kita dapat kebenaran kita terpaksa berdepan dengan risiko saman dan saya rasa itu langkah-langkah yang perlu diambil oleh ahli-ahli parlimen cuma rakyat boleh hakimi mereka tiak berminat untuk menjawab tapi lebih berminat untuk menakut-nakutkan orang macam saya.

“Dia suruh ulang di luar supaya dia nak saman dan menakut-nakutkan media kerana media tak boleh report. Jadi itu membayangkan mereka ada sesuatu yang nak disembunyikan,” kata Rafizi.

Tiada ulasan: