Isnin, 22 Julai 2013

[PRK Kuala Besut] Undi Hari Bekerja Untuk Menangkan BN?

 
KELAB GREENBOC
 
Hari Rabu ini keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan diketahui.

Apakah Barisan Nasional (BN) akan kekalkan kerusi DUN ini atau mampukah PAS melakukan kejutan merampas kerusi ini dari BN? Nampaknya atas kertas, calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan kedudukan BN di DUN Kuala Besut.

Pertamanya, bukan sahaja DUN Kuala Besut, malah kerusi Parlimen Besut itu sendiri sudah merupakan kubu kuat Umno. BN menguasai Parlimen Besut dan empat DUN di bawahnya iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut sekurang-kurangnya untuk dua penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan pada PRU-13 Mei lepas.

Kalau ia pun calon PAS, Azlan Yusof ada peluang untuk membuat kejutan walaupun dengan kemenangan tipis, peluang tersebut tampak tipis.

Sudah diketahui umum, asas sokongan untuk Pakatan Rakyat ialah di kawasan bandar dan daripada pengundi muda di bawah 45 tahun. Untuk PAS mempunyai peluang membuat kejutan di Kuala Besut, parti Islam tersebut perlu mendapat sokongan undi maksima daripada pengundi Kuala Besut yang menetap dan bekerja di Lembah Klang misalnya.

PAS juga perlu mendapatkan undi sebanyak mungkin daripada kategori pengundi muda dibawah 45 tahun. Sekali lagi pengundi muda di bawah 45 tahun kebanyakkannya menetap dan bekerja di luar Terengganu.

Cabaran yang paling getir dihadapi oleh PAS di Kuala Besut ialah bagaimana hendak menang kerusi ini tanpa kehadiran pengundi muda yang menetap di Lembah Klang atau yang menetap di luar Terengganu.

Kelebihan kepada BN

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada hari Rabu (hari bekerja) sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN, kerana rata-rata pengundi tempatan merupakan golongan veteran atau berumur 45 tahun ke atas. Lazimnya pengundi berumur 45 tahun ke atas kebanyakkannya penyokong BN.

Agak menghairankan apabila SPR menetapkan 14 hari berkempen seolah-olah kempen PRU, tetapi menetapkan hari mengundi pada hari bekerja. Sudahlah hari bekerja, pilih pula hari Rabu.

Keputusan ini jelas akan merumitkan pengundi Kuala Besut yang menetap di luar Terengganu untuk balik mengundi kerana seorang pengundi perlu memohon cuti tahun untuk balik mengundi di Kuala Besut.

Pengundi luar sudah pasti akan keberatan untuk memohon cuti tatkala kurang tiga minggu lagi, mereka perlu memohon cuti tahun (cuti tambahan) untuk sambutan Hari Raya Puasa.

Sudah tentu mereka tidak mahu menghabiskan cuti tahunan mereka untuk PRK Kuala Besut tatkala mereka lebih memerlukan cuti peruntukkan cuti tersebut untuk sambutan Aidilfitri nanti.

FMT menghubungi salah seorang petugas PAS PRK Kuala Besut yang dipertanggungjawabkan untuk menghubungi pengundi-pengundi luar dan meyakinkan pengundi-pengundi luar ini balik ke Kuala Besut.

Pengundi tidak sanggup balik

“Semalam sahaja saya sudah menghubungi 50 pengundi Kuala Besut yang bekerja di luar Terengganu. Tidak sampai 10 pengundi yang sanggup balik untuk mengundi.

Selebihnya tidak mahu balik atas alasan tidak mahu korbankan cuti tahunan yang disimpan untuk sambutan Hari Raya Puasa tidak lama lagi.

“Saya boleh katakan 90 peratus pengundi luar yang saya hubungi semalam merupakan penyokong Pakatan Rakyat tetapi mereka terpaksa mengutamakan sambutan Hari Raya Puasa.

“Mereka juga beri alasan bahawa mereka perlu ambil cuti tahunan yang panjang ketika sambutan Hari Raya Puasa nanti memandangkan cuti sekolah juga sudah bermula serentak dengan sambutan Aidilfitri.

“Mereka mahu menggunakan kuota cuti tahunan yang ada itu untuk membawa isteri dan anak-anak bercuti di kampung dan melancung,” kata petugas tersebut.

Kenapa SPR tidak mahu menetapkan tarikh mengundi pada hari Sabtu atau Ahad (cuti hujung minggu), hanya SPR sahaja yang tahu. Tetapi adalah tidak sukar untuk pembaca, pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat untuk meneka rasional SPR menetapkan tarikh PRK Kuala Besut pada hari bekerja. -FMT

Tiada ulasan: