Sabtu, 13 Julai 2013

Populariti Idris Jusoh jadi ‘bahan kempen’ PAS

Oleh Mohd Farhan Darwis

Datuk Husam Musa berucap di ceramah kempen PAS di Kampung Pusu Tinggi, Kuala Besut. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abdul Halim, 13 Julai, 2013.Populariti Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dijadikan "bahan kempen" PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Selain menggunakan "feel-good-factor" bekas Menteri Besar Terengganu itu dalam siri kempen mereka, PAS juga dilihat memancing pengundi di Kuala Besut menggunakan krisis antara Idris dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berhubung kepimpinan negeri.

"Idris semasa menjadi menteri besar ada program pembangunan untuk Terengganu, Mat Said tiada rancangan," kata Pengarah PRK PAS Kuala Besut, Datuk Husam Musa ketika berceramah di Kampung Pusu Tinggi di Kuala Besut malam tadi, sambil mengambil contoh acara perlumbaan kapal layar Moonsun Cup Terengganu yang diilhamkan oleh Idris semasa menjadi menteri besar.

Idris pernah menjadi menteri besar Terengganu pada 2004 dan hanya bertahan sepenggal hingga 2008 untuk jawatan berkenaan sebelum digantikan Ahmad Said.

Ahmad Said yang kini Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu menjawat jawatan berkenaan sehingga sekarang.

"Ahmad Said tidak sebulu dengan Idris. Idris semasa menjadi menteri besar, dia ada program, walaupun kadang kala tiada apa pun.

"Ahmad Said tiada program langsung," kata Husam yang bercakap menggunakan dialek Pantai Timur di hadapan sekitar 200 penyokong parti berkenaan.

Jelas Naib Presiden PAS itu lagi, dengan mengundi calon mereka Endut@Azlan Jusoh, ia akan menjadikan kerajaan di DUN Terengganu tergantung dengan kerusi DUN 16:16 yang mana bakal menyaksikan Barisan Nasional (BN) perlu menukar menteri besar.

"Undi kita, Idris boleh dapat faedah. Kenapa? Kerana bila menang Che Long, itu tanda orang tidak suka Ahmad Said, jadi Umno kena tukar menteri besar," kata Husam memberi penjelasan, sambil merujuk kepada nama mesra calon PAS di kawasan berkenaan.

Perkara itu bagaimanapun ditepis Idris yang menegaskan beliau mempunyai hubungan baik dengan Ahmad Said dan tidak mempunyai sebarang konflik antara mereka.

Penyokong Pas tekun mendengar ceramah di Kampung Pusu Tinggi, Kuala Besut. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abdul Halim, 13 Julai, 2013.
Husam bagaimanapun ketika ditemui selepas ceramah kempen berkenaan menafikan tindakannya menggunakan populariti Idris untuk berkempen, sebaliknya menegaskan hanya ingin mengurangkan pengaruh Ahmad Said di Terengganu.

"Kalau boleh kami hendak kurangkan pengaruh Ahmad Said dengan tambah kerusi dalam DUN," katanya.

Ditanya tindakannya itu bertujuan melaga-lagakan dua pemimpin Umno itu, seperti dakwaan Idris, Husam menegaskan masyarakat Kuala Besut lebih gemar akan Idris berbanding Ahmad Said.

"Kita bukan nak laga, kalau menang PAS, Idris kuat, Ahmad Said goyang sikit, orang nak kepada Idris," katanya.

Selain Husam, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli turut menyuarakan perkara sama, dan menggesa masyarakat Kuala Besut mengundi calon PAS bagi memungkinkan menteri besar dipilih semula dari kawasan berkenaan.

"Kita buat cadangan, suasana mesti dikembalikan di mana wajah baru, idea baru, debaran baru akan berlaku seandainya rakyat buat perubahan. Kalau rakyat Kuala Besut hendak kepimpinan negeri datang daripada daerah Besut.

"Kalau bagi status quo Ahmad Said akan berterusan. Orang Besut akan kempunan nak menteri besar daripada kawasan sini," kata Hatta.

Kerusi DUN Terengganu kini dikuasai BN dengan 17 kerusi berbanding keseluruhan 32, dengan bakinya 14 kerusi menjadi milik rakan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) PAS, dan satu kerusi milik PKR.

Selain PAS yang mengetengahkan muka baru dalam kalangan ahli perniagaan, BN juga melakukan perkara sama dengan meletakkan muka baru dalam kalangan profesional sebagai calon mereka, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang juga seorang Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran.

Kedua-dua mereka anak jati Kuala Besut.

Kematian penyandang DUN Kuala Besut Datuk A Rahman Mokhtar menjadikan perbezaan kerusi semakin nipis dan menjadikan kemungkinan wujudnya kerajaan tergantung di Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh pilihan raya bagi DUN berkenaan.

Tiada ulasan: