Sabtu, 13 Julai 2013

PKR: Najib perlu tubuh IPCMC segera, bukan merayu kes Kugan

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dengan segera berbanding membuang masa semua pihak dengan membuat rayuan terhadap kes A Kugan yang mati dalam tahanan polis, kata PKR.

Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar), berkata PKR mengecam tindakan Kerajaan Persekutuan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Kugan kerana hanya memanjangkan penderitaan keluarganya.

“Pentadbiran perdana menteri tidak sepatutnya membebankan keluarga malang ini dengan penderitaan berpanjangan dan membazir masa dan wang yang berharga, tetapi sebaliknya melaksanakan reformasi terhadap Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagaimana didesak masyarakat sivil selama ini termasuk penubuhan IPCMC,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

“Tindakan ini langsung tidak prihatin kerana ia hanya memanjangkan penderitaan keluarga Kugan, termasuk ibunya N Indra, yang terpaksa berjuang begitu lama dan gigih untuk memenangi keadilan untuk anaknya,” katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, berkata penubuhan IPCMC bukan bertujuan menghina atau melemahkan pasukan polis akan tetapi melahirkan institusi polis yang benar-benar bebas dan berkesan demi Malaysia yang lebih selamat.

“Harus diingat, cadangan IPCMC ini mula-mula dibuat oleh Suruhanjaya Di Raja yang diketuai Tun Dzaiddin Abdullah,” kata Nik Nazmi merujuk kepada bekas Ketua Hakim Negara yang mempengerusikan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2005.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham dalam penghakimannya berkata Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menjadi Ketua Polis Selangor pada ketika itu bertanggungjawab atas kematian Kugan empat tahun lalu.

Mahkamah mengarahkan pihak yang berkenaan membayar sejumlah RM851,700 kepada ibunya, N Indra atas penderitaan dan kesakitan yang dialami keluarga mangsa.

Tidak lama selepas keputusan mahkamah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung kematian Kugan.

Mengikut statistik Suaram, sebuah badan bukan kerajaan, terdapat 218 kes dakwaan kematian dalam lokap di Malaysia antara 2000 hingga Jun lalu, dengan sembilan kes berlaku pada 2012 dan lima tahun ini.

Tiada ulasan: