SHAH ALAM - Penolakan petisyen bagi kerusi Parlimen Titiwangsa oleh Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur tidak sesekali menyebabkan Pas berputus asa.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz sebaliknya mengucapkan tahniah kepada pempetisyen bagi kerusi Parlimen tersebut kerana berusaha sehingga ke saat akhir memastikan proses rayuan dan bantahan terhadap kemenangan BN di Parlimen berkenaan dibuat .

"Kami menganggap usaha bekas calon Pas, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan pempetisyen, Rosli Yasmin sebagai berjaya kerana telah berusaha dalam mematuhi proses berkenaan.

“ Dalam hal ini, mahkamah telah membuat keputusan dan kita akur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Suhaimi lagi, kegagalan bagi memenangi petisyen itu sudah  diduga sejak awal, memandangkan sukar bagi mana-mana pihak untuk memenangi sebarang kes petisyen di mahkamah.

"Ia memerlukan suatu usaha pembuktian yang rapi, dokumen dan fakta kukuh untuk dipertikaikan.

“Amat jarang berlaku kes petisyen dimenangi oleh pihak yang memfailkannya, justeru langkah bekas calon dan pempetisyen membawa kes ini ke mahkamah dengan bukti dan fakta sedia ada sudah dianggap suatu kejayaan,” katanya.

Sehubungan itu, yang paling penting bagi pihaknya  ialah pengundi mengetahui bahawa Pas dan Pakatan Rakyat tidak berputus asa  dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan PR mengikut saluran yang betul.

“Pas dan PR mengetahui hanya petisyen satu-satunya jalan untuk menegakkan kebenaran, meskipun jalannya sukar dan berliku,” katanya.