Khamis, 25 Julai 2013

Perkhidmatan bas Rapid diperluas ke seluruh ibu negeri

FREE MALAYSIA TODAY

Rancangan kami ialah untuk memulakan operasi di semua ibu negeri mulai tahun ini, kata CEO Zohari Sulaiman. 



GEORGE TOWN: Perkhidmatan bas Rapid akan diperluaskan ke semua ibu negeri secara berperingkat mulai tahun ini, seiring dengan aspirasi Belanjawan 2013 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang berkualiti dan cekap untuk orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Bus Sdn Bhd, Zohari Sulaiman berkata kerajaan komited untuk memperluaskan perkhidmatan bas.

“Rancangan kami ialah untuk memenuhi mandat dan memulakan operasi di semua
ibu negeri mulai tahun ini.

“Pada 2013, kami merancang perkhidmatan bas Rapid di Kota Bahru. Kami juga telah membuat persediaan untuk ini lebih awal lagi, tetapi menangguhkan pelaksanaannya.

“Dengan lampu hijau diberikan kerajaan, ia seharusnya bermula tahun ini,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan kakitangan RapidPenang semalam.

Ditanya sama ada bas-bas elektrik akan diperkenalkan di Pulau Pinang,  Zohari berkata tiada lagi perancangan ke arah itu, tetapi projek perintis pertama, Bus Rapid Transit (BRT) Sunway Line, telah sedia sebagai landas pelancaran.

Projek itu dijangka beroperasi menjelang 2015.

Projek perintis

“Kami merancang untuk mempunyai beberapa bas di bawah projek perintis. Sama ada ia akan diperluaskan ke kawasan operasi lain, akan diputuskan kemudian,” kata Zohari, yang juga merupakan pengarah kumpulan Prasarana untuk bahagian bas.

Dengan anggaran kos RM300 juta, projek itu akan dilaksanakan di bawah kerjasama awam-swasta antara Prasarana dan Sunway Bhd.

Cadangan laluan BRT-Sunway akan menyediakan perkhidmatan bas yang mesra kepada para pengunjung ke Sunway Resort City dan penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

Mengulas mengenai operasi di Pulau Pinang, Zohari berkata RapidPenang akan mempunyai sejumlah 400 bas menjelang akhir 2014 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap kepada warga Pulau Pinang.

Beliau berkata RapidPenang akan menambah 200 lagi bas buatan Eropah baharu, dengan 80 unit pertama dijangka tiba sebelum akhir tahun sementara yang selebihnya menjelang akhir tahun depan.
Zohari berkata daripada 120 bas itu, 40 unit ialah bas dua tingkat.- Bernama

Tiada ulasan: