Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menyifatkan anggota Parlimen DAP Kampar Dr Ko Chung Sen sebagai biadab kerana menggesa subjek Tamadun Islam digugurkan sebagai subjek wajib kepada penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

NONEPresidennya Datuk Ibrahim Ali (kanan) berkata, gesaan "melampau" itu tidak menghormati agama persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dan tidak menghormati kepentingan ilmu, lapor Utusan Online.

"Kenyataannya jelas tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan biadab dari segi konsep di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung," beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar milik Umno itu.

Sambil menggesa kementerian berkaitan mempertahankan subjek itu, Ibrahim berkata, "DAP makin melampau dan malangnya PAS dan Umno diam sahaja".

Ko semalam mempersoalkan ketetapan baru kementerian pengajian tinggi yang menurutnya bakal menjadikan Tamadun Islam sebagai wajib bagi pelajar tempatan IPTS untuk diselaras dengan sukatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, ketetapan yang akan dikuatkuasakan pada 1 September itu tiada kena mengena dengan kursus yang diberikan.

Beliau juga mempersoalkan, kenapa ia hanya diwajibkan pada pelajar tempatan dan merangkumi pelajar bukan Islam sekali.