Rabu, 3 Julai 2013

Penyelewengan dakwat kekal: Bos SPR mesti letak jawatan sebelum PRK

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Semua anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama Pengerusi dan Timbalannya perlu meletak jawatan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut Terengganu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Ia ekoran SPR sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam pembelian dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Shamsul

“Oleh kerana SPR kini sedang disiasat ekoran kegagalan mereka mengendali PRU terutama kekesalan rakyat bahawa dakwat yang diguna tidak kekal, maka adalah wajar semua anggota SPR terutama dua bos teratasnya meletak jawatan sebelum berlangsung PRK di Terengganu,” katanya kepada Suara Keadilan.

Semalam, seorang pegawai kanan SPR didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menerima rasuah RM80,000 daripada sebuah agensi pelancongan bagi membantu mendapatkan kontrak bekalan kenderaan untuk kegunaan pemerhati asing semasa PRU lalu.

Pegawai itu bersama seorang lagi mengaku tidak bersalah dan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini manakala sebutan kes akan didengar 10 Julai.

“Sesiapa terlibat rasuah patut didakwa dan kita alu-alukan tindakan itu. Namun pada masa sama kita bimbang pendakwaan individu ini terlalu difokuskan bertujuan mengalihkan tumpuan mengenai kegagalan SPR mengendalikan PRU lalu,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Tiada ulasan: