Rabu, 3 Julai 2013

Pentadbiran Daerah Besar, Maju, Pendapatan Perkapita Tertinggi Perlu Dipecah Dua


Lau Weng San 01

SHAH ALAM: Adun Kampung Tunku, Lau Weng San menyarankan agar daerah yang terlalu besar seperti Petaling dipecahkan kepada dua bagi memudahkan pentadbirannya seperti mengadakan lebih dari dua pejabat daerah dan tanah.

Menurut Weng San, selain menjadi daerah yang besar dengan keluasan 484 km persegi, daerah itu turut mencatatkan populasi sebanyak 1.8 juta orang dengan kepadatan penduduk 3,680 orang bagi setiap km persegi.

Selain itu, Petaling juga merupakan sebuah daerah termaju dan memiliki pendapatan perkapita daerah tertinggi disebabkan aktiviti industri dan komersial yang aktif.

“Kini Daerah Petaling mempunyai tiga buah PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Agensi Kerajaan Persekutuan di Daerah Petaling juga sudah dibahagi kepada dua, contohnya Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana.

“Biarpun begitu sehingga sekarang Daerah Petaling hanya disokong satu pejabat tanah dan daerah sahaja iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP),” kata Weng San ketika berucap di dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Menurut Weng San lagi, jumlah kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling wajar ditingkatkan selaras dengan peruntukan RM 11 .4 juta yang diterimanya.

“Saranan Kampung Tunku ialah kerajaan harus melakukan sesuatu untuk memastikan PTD mempunyai bilangan kakitangan awam yang sepadan dengan tugas yang dipikul serta hasil yang dikutip,” kata Weng San lagi.

Tiada ulasan: