Selasa, 2 Julai 2013

Penstrukturan Semula Air Bakal Selesai Dua Bulan Lagi


MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01

SHAH ALAM : Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan surat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung perundingan tersebut.

“Ianya disediakan berdasarkan tawaran-tawaran yang perlu diterima selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kita juga optimis dengan perkara ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk proses penyusunan semula pengurusan air di Selangor,” kata Abdul Khalid di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman berhubung perkembangan pengurusan air Selangor.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebagai persediaan rapi, Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu pasukan pengurusan professional yang berkemampuan mengendalikan pengurusan air di Selangor sekiranya proses ambil alih berjaya.

“Pasukan pengurusan ini terdiri daripada eksekutif dari luar negara yang berkelayakan.”

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Tujuan penstrukuturan semula adalah supaya rakyat mendapat bekalan air terawat yang efisen dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Tiada ulasan: