Khamis, 11 Julai 2013

Penduduk Seksyen 7 Bimbang Kren Pembinaan Terlalu Hampir Dengan Rumah


Kren Seksyen 7 03

SHAH ALAM  : Penduduk Perumahan di Jalan Plumbum 7/103 Seksyen 7 di sini hidup dalam keadaan kebimbangan ekoran kren pembinaan yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan mereka.

Menurut penduduk, Rahim Salib,54, kren pembinaan untuk sebuah projek komersil dan kediaman itu mendatangkan ancaman kepada mereka.

Kren Seksyen 7 02“Ia amat berbahaya tumbang jika ditiup angin kencang atau ribut, projek ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehinggakan antara projek pembinaan bangunan 35 tingkat itu dan rumah terdekat mempunyai sempadan yang terlalu hampir.

 “Sepatutnya sempadan itu perlu diperbesarkan lagi jarak antara bangunan 35 tingkat itu dan rumah yang mana perlu dikaji semula.

“Apabila terlalu hampir maka dari segi pemandangan dan teknikalnya sudah tidak berapa baik jika berlaku apa-apa yang buruk, ” kata beliau ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah beliau masalah kesihatan jangkitan demam denggi juga mengancam penduduk kerana disebabkan kawasan pembinaan itu yang dikhuatiri tidak diurus dengan baik.

“Kita bersama persatuan penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan agar kerja pembinaan mempunyai tempoh masa.

“Namun apa yang menghairankan terdapat kerja-kerja sehingga jam 10 malam, jadi saya mengharapkan agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar membuat penguatkuasaan yang baik,” kata beliau.

Ujar beliau lagi sudah berlaku keretakkan rumah dan kegelinciran tanah di kawasan perumahan ini kesan langsung daripada pembinaan daripada projek itu.

Beliau mencadangkan agar kren pembinaan yang terlalu hampir itu dialihkan ke kawasan yang lebih jauh dan selamat daripada kawasan perumahan agar keselamatan penduduk lebih terjamin.

Sementara itu menurut penduduk, Rosiah (bukan nama sebenar) berkata, projek itu mendatangkan pencemaran bunyi dan udara kepada kawasan perumahan di kawasan itu dengan gangguan habuk dan bising yang berlaku.

“Kita amat bimbang dengan projek berkenaan tetapi projek ini masih berjalan lagi, saya mengharapkan agar projek ini terus dipantau oleh pihak berkenaan,” kata beliau.

Sementara itu menurut Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad mengulas perkara itu berkata, pihak MBSA akan mendapatkan maklumbalas daripada  Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam masa terdekat.

Kren Seksyen 7 01

Tiada ulasan: