Nie Ching
Nie Ching 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa menerima aduan daripada beberapa guru sandaran yang tidak menerima bonus satu setengah bulan gaji yang diumumkan kerajaan pada pembentangan Bajet 2013, tahun lalu.

Beliau mendakwa, guru-guru sandaran di kawasan Kulai itu telah mengadu tidak menerima sebahagian bonus pada Disember 2012 dan Januari lalu.

Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP menambah, merujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2012, Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi Kali Kedua Tahun 2012 turut menyenaraikan guru sandaran layak menerima imbuhan tersebut.

"Mereka adalah guru terlatih tetapi masih belum terima bonus," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan gaji bagi kakitangan awam.

Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan kepada 1.3 juta kakitangan awam yang dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember 2012 manakala setengah bulan lagi pada Januari lalu.

Dalam pada itu, Nie Ching turut menggesa kerajaan supaya menyemak aduan yang telah dikemukan rakyat bagi mengelak sebarang salah faham berlaku.

"Kita tidak tahu di mana silapnya, sama ada pihak pentadbiran ataupun kerajaan.

"Jadi kita minta kerajaan semak semula dan mengambil berat perkara ini," katanya.