Ahad, 7 Julai 2013

MBSA Diarah Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Menara Biru


teng pc mbsa 5 jul 01

SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menara Biru Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat tersebut yang didakwa menjatuhkan kredibiliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Tindakan itu berikutan syarikat berkenaan bersama firma guamannya didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada pihak media apabila mendakwa MBSA nyaris disita ekoran gagal membayar ganti rugi kepadanya.

Ia berhubung tuntutan ganti rugi dalam kes membabitkan  pembinaan 10 unit banglo sebagai kediaman rasmi pegawai MBSA di Seksyen 8.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat itu telah mengambil tindakan mahkamah terhadap MBSA, menuntut RM 3.53 juta. Manakala MBSA pula membuat tuntutan balas terhadap syarikat berkenaan dengan menuntut RM 631,348.91.

Tegasnya, prosiding berkenaan masih di peringkat timbang tara dan MBSA membuat permohonan untuk memberhentikan penimbang tara yang dilantik berikutan tidak berpuas hati dengannya.
Namun permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“MBSA tidak berjaya dan diarahkan untuk membayar kos RM 30,000 untuk satu pihak, RM 10,000 untuk satu pihak lain serta kos untuk urusan, berjumlah kira-kira RM 40,000.

“Bererti, apa yang dituntut oleh Menara Biru itu adalah kos yang diperintahkan oleh mahkamah.

Antara satu kos, yang RM 10,000 sudah diperintahkan oleh mahkamah empat tahun lalu dan tidak ditutut.

“Sekarang, mereka tunggu empat tahun, mereka datang dengan perintah untuk menyita, ” katanya dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Semalam firma guaman yang mewakili syarikat itu pergi ke pejabat Datuk Bandar konnonnya untuk menyita premis tersebut. Bagaimanapun, MBSA membayar kos RM 10,000 menyebabkan syarikat itu tidak menyita pejabat tersebut.

Tambah Teng, apa yang dimaklumkan syarikat itu ialah MBSA gagal membayar gantirugi yang diperintahkan mahkamah, sedangkan prosiding sekarang adalah permohonan MBSA untuk mengetepikan penimbang tara yang masih belum dibicara dan diputuskan lagi.

Katanya, dalam kes tuntutan bersilang itu, belum ada keputusan pihak mana yang menang, justeru kenyataan syarikat itu adalah tidak berasas, tidak betul dan satu pembohongan.

“Tindakan mereka (Menara Biru) jelas berniat jahat dan ingin menjejaskan nama baik MBSA.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas kalau mereka ada hutang dengan MBSA,” katanya lagi.

Tiada ulasan: