Jamilah Kamarudin
Berbanding RM2.6 bilion rizab yang dicatatkan bagi tahun berakhir 31 Disember 2012.
SHAH ALAM: Selangor terus mencatatkan prestasi ekonomi positif apabila berjaya memperoleh hasil simpanan rizab RM2.8 bilion pada akhir Mei 2013, berbanding RM2.6 bilion rizab yang dicatatkan bagi tahun berakhir 31 Disember 2012.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid berkata, daripada jumlah itu Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.4bilion, Akaun Amanah Disatukan (RM1.42bilion), manakala hasil Wang Awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada Wang Tunai (RM436.83 juta), serta Pelaburan (RM2.4bilion).
“Faktor utama yang memperngaruhi prestasi kewangan Selangor adalah pertumbuhan hasil pada tahun 2012 berjumlah RM1.95 bilion berbanding hasil tahun 2011 (RM1.63 bilion) dengan jumlah peningkatan sebanyak RM320.80 juta (19.63%),” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, peningkatan ketara direkodkan pada kutipan hasil cukai tanah sebanya RM869.91 juta pada tahun 2012 berbanding RM533.04 juta pada tahun 2011.
Abdul Khalid berkata, beberapa langkah proaktif diambil bagi memperkasakan kedudukan kewangan Selangor, antaranya pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah (Ops Kutip).
“Pada tahun 2012, tunggakan hasil kerajaan Selangor adalah berjumlah RM352.12 juta berbanding RM425.27 juta pada tahun 2011 dengan pengurangan sebanyak RM73.15 juta,” katanya.
Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah dalam jawapan berasingan berkata bagi tempoh sehingga Mac 2013, sebanyak 43 projek perkilangan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dengan nilai pelaburan berjumlah RM6.2 bilion.
Daripada jumlah tersebut RM3 bilion adalah daripada pelaburan asing dan pelaburan tempatan (RM3.12 bilion).
“Negeri Selagor masih menduduki nombor pertama dari segi bilangan pelaburan.
“Berdasarkan perkembangan dan keadaan ekonomi dunia, kerajaan negeri mensasarkan jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan adalah sebanyak RM8 bilion untuk tahun 2013,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Adun Teluk Datuk Loh Chee Heng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan