PAS hari ini berjaya mengenepikan satu penghakiman ingkar yang dibuat terhadap parti itu Mei lalu susulan daripada saman fitnah yang dikemukakan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Peguam PAS, Norazmir Zakaria memberitahu Malaysiakini bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan PAS untuk mengenepikan hukuman tersebut.

Pada Mei lalu, MPK memperoleh satu penghakiman ingkar terhadap PAS selepas parti itu gagal hadir di mahkamah.

MPK memfailkan saman terhadap PAS pada Mac dan menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta terhadap parti itu yang didakwa mengedar risalah mengandungi perkataan palsu dan fitnah berkenaan Zoo Bukit Takal.

Ia juga ekoran dakwaan terhadap anggota dewan undangan negeri Chukai yang dituduh mengambil tanah seluas lima ekar.

Dalam perbicaraan sebelum ini, PAS gagal hadir ke mahkamah sebanyak dua kali walaupun diarahkan berbuat demikian sebanyak dua kali, menyebabkan penghakiman ingkar dijatuhkan terhadap mereka.